Home Nasional Polis berpangkat ASP didakwa minta, terima rasuah

Polis berpangkat ASP didakwa minta, terima rasuah

Mahkamah Butterworth

BUTTERWORTH – Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) didakwa di mahkamah sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah pada tahun 2018.

Tertuduh, Ameyrudin Ahmad Zuki, 40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abd Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama, dia sebagai seorang ejen kerajaan iaitu Penolong Penguasa Polis didakwa secara rasuah bersetuju untuk menerima suapan berjumlah RM20,000 daripada Muhamad Hisham Aziz.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdaganan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 terhadap Muhamad Hisham.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dalam biliknya di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini pada jam 12 tengah hari pada 5 Ogos 2018.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Bagi pertuduhan kedua, Ameyrudin didakwa secara rasuah menerima suapan RM15,000 daripada individu sama sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia di hadapan premis Hometown The Houseware Outlet di daerah Seberang Perai Tengah di sini pada jam 4.30 petang pada 7 Ogos 2018.

Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi bagi kedua-dua kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azlan Basri manakala tertuduh diwakili peguam Shahrullah Khan.

Ameyrudin dibenarkan diikat jamin sebanyak RM7,000 beserta seorang penjamin, manakala 14 September depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, kira-kira 15 individu berbaju hitam berpura-pura mengiringi tertuduh bagi mengelak gambar tertuduh dirakamkan pihak media, sedangkan dalam masa sama Ameyrudin dipercayai keluar melalui pintu belakang sejurus membayar jaminan. – MalaysiaGazette