Home Ekonomi Statistik industri penerbangan sahkan 2020 tahun terburuk

Statistik industri penerbangan sahkan 2020 tahun terburuk

Kaunter daftar masuk penumpang lengang berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA, Sepang. Foto HAZROL ZAINAL, 10 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Statistik industri penerbangan mengesahkan 2020 merupakan tahun terburuk yang pernah dicatatkan, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

IATA dalam satu kenyataan hari ini berkata, Statisktik Pengangkutan Udara Dunia IATA (WATS) bagi 2020 mendedahkan 1.8 bilion penumpang menggunakan perkhidmatan penerbangan pada 2020, penurunan 60.2 peratus berbanding 4.5 bilion pada 2019.

Angka itu menunjukkan kesan buruk daripada krisis COVID-19 ke atas pengangkutan udara global semasa tahun tersebut.

“Jumlah hasil penumpang industri turun sebanyak 69 peratus kepada US$189 bilion (US$1=RM4.23) pada 2020 dan kerugian bersih berjumlah US$126.4 bilion.

“Permintaan perjalanan udara jatuh sebanyak 65.9 peratus tahun ke tahun, manakala permintaan penumpang udara antarabangsa dan domestik turun masing-masing sebanyak 75.6 peratus dan 48.8 peratus berbanding 2019,” katanya.

Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata 66 peratus daripada pesawat pengangkutan komersial dunia tersadai apabila kebanyakan kerajaan menutup sempadan mereka atau mengenakan kuarantin ketat ketika kemuncak krisis pada April 2020.

“Berjuta-juta pekerjaan hilang dan kerugian industri bagi tahun itu berjumlah US$126 bilion,” katanya.

Mengenai prestasi syarikat penerbangan pada 2020, angka WATS menunjukkan rantau Timur Tengah mencatatkan penurunan trafik penumpang terbesar apabila hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) turun 71.5 peratus berbanding 2019, diikuti rantau Eropah dan Afrika yasng masing-masing susut 69.7 peratus dan 68.5 peratus.

“China menjadi pasaran domestik terbesar pada 2020 buat pertama kalinya dalam sejarah, apabila perjalanan udaranya melantun semula dengan pantas di pasaran domestik mereka susulan usaha yang diambil untuk membendung COVID-19,” katanya.

Bagaimanapun, statistik itu juga mendedahkan pengangkutan muatan udara mencatatkan prestasi memberangsangkan bagi 2020, apabila pasaran itu disesuaikan dengan penghantaran barangan, termasuk vaksin, peralatan perlindungan diri dan bekalan perubatan penting, meskipun penurunan besar kapasiti daripada muatan pesawat penumpang.

“Kargo tan kilometer tersedia (ACTK) dalam industri turun 21.4 peratus tahun ke tahun pada 2020 yang membawa kepada kelemahan kapasiti, dengan faktor muatan kargo dalam seluruh industri meningkat 7.0 peratusan mata kepada 53.8 peratus,” katanya sambil menambah ini merupakan nilai tertinggi dalam siri IATA yang bermula pada 1990. – MalaysiaGazette