Home Politik Ahli Parlimen Maran sokong kerajaan PN

Ahli Parlimen Maran sokong kerajaan PN

Datuk Seri Ismail Abd Mutalib. Foto AFFAN FAUZI.

KUALA LUMPUR – Seorang wakil rakyat UMNO, Datuk Seri Ismail Mutalib membuat pengumuman terbuka menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini.

Menurut Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan dan Ahli Parlimen Maran itu, sokongannya terhadap Muhyiddin adalah sama seperti sokongannya terhadap Perdana Menteri terdahulu.

Dalam pada itu, beliau turut menyembahkan taat setia kepada Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah.

“Justeru sebagai Timbalan Menteri Persekutuan, saya akan terus melaksanakan dan memberi khidmat sehabis baik dengan jujur, bersih, cekap dan amanah demi rakyat, agama, bangsa dan negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tindakan Ahli Parlimen Maran itu, sekali gus menentang ketetapan yang dibuat partinya untuk menarik sokongan daripada Perikatan Nasional dan Muhyiddin dalam mesyuarat tergempar Majlis Kerja Tertinggi UMNO semalam. – MalaysiaGazette