Home Ekonomi Pengumuman undi percaya bantu kurangkan ketidakpastian dalam kalangan pelabur – Juwai IQI

Pengumuman undi percaya bantu kurangkan ketidakpastian dalam kalangan pelabur – Juwai IQI

Shan Saeed

KUALA LUMPUR, 4 Ogos — Pengumuman usul undi percaya semasa persidangan Parlimen pada bulan depan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh membantu mengurangkan ketidakpastian dalam kalangan pelabur, terutamanya terhadap prospek ekonomi negara.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Shan Saeed berkata, pengumuman hari ini memberikan hala tuju jelas berkaitan ketidaktentuan politik negara dan mungkin memberikan sokongan moral kepada pelabur.

“Ketidaktentuan politik telah menjadi sebahagian daripada gambaran keseluruhan dalam persekitaran pandemik COVID-19 sama ada di Sydney, Delhi, Jakarta, London, San Paulo, Paris atau New York, di mana negara-negara hidup dalam dunia baharu untuk membina semula ekonomi dan membawanya ke peringkat pemulihan ekonomi yang seterusnya.

“Dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, banyak ekonomi akan sama ada mempunyai pertumbuhan negarif, pertumbuhan sifar atau pertumbuhan perlahan. Harapnya, pengumuman (oleh Perdana Menteri) akan dapat mengurangkan suhu politik bagi menyokong prospek ekonomi (negara),” katanya.

Ketua Pengedaran Harta Runcit Manulife Investment Management (M) Bhd Ng Chze How turut bersetuju bahawa pengumuman Perdana Menteri adalah positif kerana ia akan meredakan peningkatan sentimen.

Beliau melihatnya sebagai satu langkah yang akan dapat mengurangkan ketidakpastian politik negara.

“Banyak faktor yang akan memberi impak kepada keyakinan pelabur dan pasaran telahpun mengambil kira faktor-faktor yang akan member impak kepada prestasi pada masa depan. Kami masih yakin dengan prospek pasaran dan laluan kepada pemulihan akan lebih mencabar,” katanya.

CGS-CIMB Securities Sdn Bhd berkata ketidakpastian politik memberi impak negatif kepada pasaran kerana ia membawa kepada ketidaktentuan tentang kepimpinan masa depan dan hala tuju negara.

Ini dijangka menyebabkan pengeuaran lagi dana asing dari pasaran ekuiti Malaysia dan syarikat dengan pegangan saham asing yang tinggi mungkin terdedah disebabkan potensi penjualan, kata syarikat pembrokeran itu dalam Skim Laporan Penyelidikan Syariah bagi separuh kedua 2021 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Menurut laporan itu, aliran keluar dana bersih pelabur asing dari Malaysia meningkat ke paras tertinggi bulanan menjelang 2021 pada Jun lepas kepada RM1.17 bilion berikutan kebimbangan kemungkinan kesan daripada penutupan berterusa perniagaan selain ketidaktentuan politik dan ringgit yang lebih lemah.

“Penyelesaian damai antara parti-parti politik, yang akan dapat menstabilkan pentadbiran, akan dilihat sebagai perkembangan yang positif oleh pasaran,” katanya.

Sementara itu, Shan berpendapat ekonomi akan terus bergerak maju walaupun terdapat ketidakpastian dalam persekitaran luaran dan kegawatan pasaran ekuiti di ekonomi maju.

“Usaha vaksinasi semakin mencatatan kemajuan dan kadarnya lebih pantas melalui pembukaan pusat terus masuk yang akan memberi peluang bagi negara untuk mengubah status daripada fasa satu ke fasa kedua. Ini adalah keseimbangan yang terlihat antara ekonomi dan epidemiologi pada masa ini.

“Negara sedang berusaha untuk menangani varian Delta dan Gamma. Bukan satu prospek ekonomi makro yang mudah bagi banyaki ekonomi yang sedang berhempas-pulas untuk pulih,” tambahnya.

Katanya lagi, nilai ekonomi bekalan vaksin dan bagaimana pasaran akan menerapkan pelan strategi pertumbuhan ekonomi  baharu bagi mengembalikan prospek pertumbuhan secara efektif, akan dipertimbangkan oleh para pembuat keputusan utama di seluruh dunia.

“Ia bukan tenang pasaran di Malaysia sahaja, pasaran global akan terus bergolak dan tidak menentu. Pasaran global tidak akan stabil dalam masa terdekat serta akan ada banyak pergerakan yang tidak jelas di negara maju terutama Amerika Syarikat dan Eropah, yang mana prospek pertumbuhan masih samar-samar.

“Ekonomi global sedang menuju ke arah pertumbuhan ekonomi perlahan dan penggangguran dan era 1970-an akan kembali. Inflasi akan kekal serius di ekonomi barat dan bank-bank pusat menjadi panik kerana instrumen kewangan menjadi kurang berkesan serta pasaran kewangan memasuki keadaan bazuka (sejumlah besar wang disediakan kerajaan pada masa krisis),” katanya. – MalaysiaGazette