Home Pendapat Solusi tekanan dan kemurungan perspektif Islam

Solusi tekanan dan kemurungan perspektif Islam

Gambar hiasan

 

LAPORAN menunjukkan tahap kesihatan mental dalam kalangan masyarakat di Malaysia perlu diberi perhatian serius lantaran peningkatan kes bunuh diri yang dikaitkan dengan kesan pandemik Covid-19.

Kes bunuh diri berpunca akibat tekanan yang dihadapi mangsa seperti kesempitan dan kesukaran hidup kerana tidak boleh keluar mencari sumber pendapatan, hilang pekerjaan dan sebagainya.

Masyarakat Malaysia bukan sekadar bimbang terhadap peningkatan berterusan kes harian Covid-19, malah pada masa yang sama turut terkesan dengan laporan kes bunuh diri akibat tekanan hidup.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaporkan sejumlah 336 kes bunuh diri telah dilaporkan sehingga Mac 2021. Ini berbanding 631 kes bunuh diri dilaporkan pada tahun 2020, dan 609 kes pada tahun 2019.

Manakala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Talian Bantuan Sokongan Psikososial melaporkan telah menerima sebanyak 122,328 panggilan sejak 1 Januari hingga 18 Jun 2021, berkaitan permasalahan kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan, hilang tempat bergantung, masalah rumah tangga, tekanan ketika bekerja dari rumah dan sebagainya.

Penyakit mental boleh dibahagikan kepada tiga iaitu; pertama ialah neurosis, lazimnya mengalami perubahan dan gangguan di dalam pemikiran, perasaan dan kelakuan tanpa menjejaskan kewarasan akal, contohnya ialah kemurungan dan kebimbangan.

Kedua ialah psikosis, lazimnya mengalami perubahan yang amat ketara di dalam pemikiran, perasaan dan tingkah laku serta kewarasan juga terjejas. Pesakit akan berasa keliru dengan mengalami suara-suara ghaib berkomunikasi atau dikenali halusinasi. Pesakit juga mempunyai kepercayaan pelik yang tidak dikongsi oleh orang lain dan menyebabkan reaksi melampau atau dikenali delusi. Contoh delusi ialah merasakan seseorang ingin menganiaya atau berbuat jahat kepada dirinya, lantas menyebabkan dirinya bertindak menyerang seseorang yang disyaki secara membahayakan.

Ketiga ialah kecelaruan personaliti, lazimnya kecelaruan ini menyebabkan seseorang mengalami kecacatan perwatakan. Masalah yang dialami ini boleh memberi kesan kepada perhubungan interpersonal dengan orang di sekeliling.

Dalam Islam, punca berlaku tekanan bukan hanya dari tekanan mental semata-mata, bahkan boleh berlaku disebabkan kecelaruan dan kelemahan hati. Kelemahan hati yang menyebabkan rapuhnya hubungan manusia dengan Allah SWT menjadikan kehidupannya menjadi sempit, sukar dan seolah-olah tiada jalan keluar dari setiap masalah hidup.

Islam adalah agama yang sangat mengambil perhatian terhadap kesihatan mental. Hal ini dapat dilihat melalui penentuan objektif syariah (maqasid syariah) yang digariskan oleh Allah SWT untuk dicapai dalam kehidupan manusia bagi mendatangkan kemaslahatan dan menolak kemudaratan.

Maqasid syariah terbahagi kepada tiga tahap dari aspek keutamaan iaitu daruriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat. Pada peringkat daruriyyat, pemeliharaan atau penjagaan terhadap agama, nyawa, akal, keturunan dan harta perlu diberi perhatian dalam kehidupan manusia.

Terdapat beberapa kaedah dan langkah sebagai solusi dalam menyelesaikan permasalahan tekanan dan kemurungan melalui tindakan-tindakan positif dan berlandaskan ajaran Islam bagi memastikan nyawa dan akal terpelihara dengan baik.

Pertama, memahami dan menerima hakikat kehidupan adalah suatu ujian. Sewajarnya, seseorang yang menghadapi tekanan dan kesusahan perlulah bersabar, tenang, sentiasa rasional, positif dan yakin dengan ketentuan Allah SWT.

Allah SWT telah memberikan panduan terbaik dalam menghadapi ujian dan tekanan hidup melalui maksud firman-Nya: “Demi sesungguhnya! Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, (merasai) kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa (kehilangan nyawa) serta buah-buahan (kehilangan hasil usaha), dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar” (Surah al-Baqarah 155).

Ujian dan tekanan hidup adalah bertujuan untuk memantapkan nilai-nilai keimanan, ketaqwaan, kesyukuran dan rasa cinta kepada Allah SWT. Apabila seseorang yakin, dengan izin Allah SWT, segala permasalahan yang membelenggu diri akan dirungkaikan dan akhirnya berjaya menghadapi ujian dan tekanan dengan tenang dan berjaya.

Kedua, kembali kepada Allah SWT dengan sentiasa mengingati dan memohon bantuan dan panduan dalam menyelesaikan permasalahan hidup. Solat, berdoa, baca al-Quran dan berzikir adalah amalan yang perlu dilazimi dalam kehidupan seharian sebagai terapi secara kerohanian untuk merawat penyakit tekanan dan kemurungan.

Allah SWT sentiasa mengingatkan manusia agar sentiasa mengingati-Nya bagi mendapatkan pertolongan sebagaimana dalam ayat yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat” (Surah al-Baqarah: 153).

Seterusnya, amalan berzikir seperti bertakbir, bertahmid, bertasbih dan sebagainya merupakan amalan yang mampu menenangkan jiwa sebagaimana jaminan Allah SWT dalam ayat yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah, ketahuilah dengan zikrullah itu, dapat menenteramkan hati manusia” (Surah al-Ra’d: 28).

Ketiga, memelihara hubungan dan komunikasi yang baik bersama masyarakat disekeliling. Masyarakat terutama ibubapa, ahli keluarga, sahabat serta jiran tetangga berperanan sebagai tempat meluahkan permasalahan dan membantu memberikan sokongan moral atau emosi dalam menghadapi ujian dan tekanan.

Perlakuan bersendirian adalah petunjuk atau pentanda kepada kecenderungan penyakit mental yang menyebabkan kurang berasimilasi, berkomunikasi dan berkongsi permasalahan bersama pihak lain.

Saranan Nabi SAW untuk membantu golongan yang menghadapi ujian dan tekanan terdapat dalam hadis yang bermaksud “Sesiapa yang melepaskan saudara mukmin daripada kesusahan di dunia, maka Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat” (Riwayat Muslim, no. 2699).

Hubungan yang erat bersama ahli keluarga dan masyarakat sekeliling mampu meningkatkan pemikiran, emosi dan perasaan yang lebih seimbang dalam mencari solusi. Seterusnya berupaya merangsang semangat dan motivasi dalam meneruskan kelangsungan kehidupan.

Keempat, berusaha mengatur strategi dan langkah penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi dengan bijaksana dan sabar dalam menyelesaikannya. Setiap permasalahan hidup pasti disusuli dengan solusi yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Setiap kesulitan pasti disusuli kemudahan” (Surah al-Sharh: 5) diulang sebanyak dua kali berturut-turut untuk memberi isyarat bahawa janji Allah adalah pasti dan benar.

Kesimpulannya, segala permasalahan yang dihadapi perlu diselesaikan dengan pendekatan yang berlandaskan syarak. Yakinlah bahawa setiap masalah yang timbul, pasti ada solusinya dan Allah SWT sentiasa membantu. Allah SWT tidak akan membebankan seseorang dengan sesuatu yang tidak mampu ditanggung kerana kasih terhadap setiap hamba-Nya.

Jadikanlah ujian dan cabaran hidup sebagai pengukuh diri supaya menjadi manusia yang cemerlang dalam mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.. Hindari daripada terlalu mengikut perasaan dengan jiwa yang kosong kerana boleh mengakibatkan masalah kemurungan. Kemurungan boleh menggugat keimanan dan menjadikan manusia berada di posisi yang tidak baik.

Dr Azri Bhari
Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Shah Alam, Selangor