Home Pendapat Menjunjung agenda luhur: Pertahankan demokrasi berparlimen dalam era pandemik

Menjunjung agenda luhur: Pertahankan demokrasi berparlimen dalam era pandemik

Gambar hiasan.
Gambar hiasan

KETIKA artikel ini ditulis, Parlimen Malaysia telah ditempohkan atau ditangguhkan dengan alasan terdapat penyebaran virus Covid-19 dalam kalangan pegawai Ahli Parlimen.

Penangguhan sidang Parlimen pada Isnin 2 Ogos 2021 ke tarikh lain telah dikritik keras oleh Ahli Parlimen Kuala Selangor, Bandar Kuching dan Ahli Parlimen Pembangkang khususnya, atas alasan penangguhan tersebut walaupun di atas alasan penyebaran virus Covid 19 tetapi tidak dibuat berasaskan dapatan sains dan data kesihatan yang konklusif.

Dalam tempoh pandemik, pelbagai tulisan serta respons negara-negara lain mengungkapkan bagaimana demokrasi harus terus dipertahankan walaupun negara berhadapan dengan situasi kritikal, terkesan dengan pandemik.

Alasan utama mengapa kebanyakan Parlimen di negara-negara lain terus bersidang baik secara limitasi fizikal mahupun dengan dokongan teknologi, adalah disebabkan legislatif masih perlu melaksanakan tugas-tugas mereka membahaskan keperluan, meluluskan peruntukan dan mekanisme menangani pandemik dalam negara masing-masing. Proses semak dan imbang masih relevan dan kekal menjadi unjuran keutamaan walaupun ketika pandemik.

Namun demikian, apa yang terjadi di Malaysia adalah sejarah yang mengejutkan. Tidak pernah dalam sejarah negara, kerajaan dan sebuah lagi komponen penting dalam sistem demokrasi berparlimen di Malaysia, iaitu institusi diraja saling mengutus penjelasan bertulis di media massa menjelaskan keadaan yang sepatutnya dibahaskan dalam Parlimen.

Dewan yang mulia telah dikelirukan dengan status pembatalan Ordinan Darurat tetapi tidak ada penjelasan atau perbahasan tuntas di dalam Dewan. Ia membawa kepada beberapa episod dramatik lain yang kemudiannya memperlihatkan sisi kegagalan Parlimen berfungsi dengan efektif untuk kepentingan rakyat.

Dalam konteks negarawan yang berjiwa besar, ruang demokrasi yang berfungsi, perbahasan yang membawa kepada agenda luhur untuk kebaikan negara, ia harus dibina dengan ekosistem penguasaan ruang demokrasi yang benar-benar mengangkat prinsip shura (perbincangan) yang baik.

Sebagaimana yang ditegaskan oleh Dr. Ahmad al-Raysuni di dalam tulisannya, Al Shura, The Quranic Principle of Consultation, beliau menggariskan 10 prinsip utama dan kefungsian  dalam tuntutan konsultasi untuk proses demokrasi yang matang iaitu:-

1.            Matlamat shura (perbincangan) adalah untuk menentukan hala tuju yang baik.

2.            Membebaskan diri dari keangkuhan.

3.            Untuk benar-benar menolak penindasan/pemerasan tirani.

4.            Shura, mengajar erti tawadu’ (humility).

5.            Ruang kebebasan diberikan kepada semua untuk perbincangan.

6.            Mewujudkan suasana kebebasan bersuara.

7.            Menggalakkan pemikiran dan proses rencana dengan keupayaan mengungkap pandangan.

8.            Mendorong tindakan.

9.            Menimbulkan suasana perpaduan.

10.         Kebersamaan dalam menghadapi cabaran tidak terduga.

Mempertahankan kebebasan Parlimen daripada sebarang gugatan yang menafikan keabsahan prinsip semak dan imbang adalah tugas setiap ahli Parlimen dan komponen institusi yang terkait dengan fungsi dan peranan Parlimen.

Kendala terbesar demokrasi adalah penindasan terhadap hak bersuara dan kebebasan menyampaikan pandangan apatah lai yang melibatkan kepentingan awam.Kecurangan kali ini pastilah penangguhan sesi perbahasan dan  kerugian ruang masa untuk membuat polisi yang baik untuk negara ketika diuji dengan mehnah pandemik.

Apakah Parlimen kita kalis tribulasi? Tidak, malah setiap kali berhadapan dengan ujian demokrasi, kebebasan dan fungsinya harus diperkukuhkan dengan kekuatan pasak Perlembagaan Persekutuan.

Sebagaimana anjuran Abraham Lincoln dalam kata-kata beliau yang masyhur, “Democracy is a government of the people, by the people and for the people”. Apakah kerajaan Perikatan Nasional hari ini mempunyai legitimasi sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai dokongan dalam Parlimen dan rakyat? Apakah segala tindakan kerajaan hari ini adalah demi rakyat?

Semua persoalan ini hanya boleh ditentukan dengan demokrasi yang mengangkat agenda luhur, kebesaran jiwa dan ekosistem yang mewujudkan prinsip semak dan imbang menerusi sidang perbahasan yang berkesan.

Selamatkan Demokrasi Berparlimen di Malaysia!

Fadhlina Sidek
Pengerusi Biro Guaman & Pembangunan Komuniti
Wanita KEADILAN