Home Nasional Peladang, penternak dan nelayan perlu guna teknologi moden

Peladang, penternak dan nelayan perlu guna teknologi moden

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

KUALA LUMPUR – Golongan peladang, penternak dan nelayan digesa agar menggunakan teknologi moden dan digital terutama dalam industri huluan dan hiliran.

Langkah itu adalah supaya produktiviti dimaksimumkan dan pendapatan dapat ditingkatkan seterusnya menjadikan sektor pertanian lebih maju dan berdaya saing, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Menurutnya, golongan peladang, penternak dan nelayan di seluruh negara merupakan barisan hadapan bagi sektor agromakanan negara.

“Para peladang, penternak dan nelayan adalah ‘wira tani’ yang sentiasa membantu kerajaan bagi memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi walau dalam apa jua keadaan sekali pun.

“Jasa dan pengorbanan mereka sebagai wira tani dalam sektor agromakanan negara sentiasa kita hargai. Maka, ternyata tarikh 6 Ogos setiap tahun dijadikan sebagai Hari Peladang, Penternak dan Nelayan adalah satu tindakan yang tepat,” katanya secara webinar hari ini.

Ronald berkata demikian ketika berucap sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan yang disambut 6 Ogos setiap tahun.

Majlis secara maya itu turut dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Timbalan Menteri I MAFI, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Timbalan Menteri II MAFI, Datuk Che Abdullah Mat Nawi; Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Ronald berkata, kerajaan melalui Pertubuhan Peladang tidak mengabaikan golongan B40 di dalam membantu menambah hasil pendapatan mereka.

Katanya, sejumlah RM13.21 juta telah diperuntukkan kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di dalam membantu golongan B40 menerusi projek tanaman kontan yang berupaya menjana pendapatan dalam tempoh yang cepat.

Jelas beliau, Program Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank juga sedang giat dilaksanakan dengan jumlah keseluruhan skim itu adalah sebanyak RM850 juta.

Katanya, jumlah itu merangkumi peruntukkan sebanyak RM350 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan RM500 juta di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

“Usahawan mikro dan komuniti B40 dalam sektor pertanian dan industri makanan yang terjejas akibat daripada pandemik Covid-19 dan PKP digalakkan untuk memohon kemudahan pembiayaan yang disediakan kerajaan di bawah Agrobank.

“MAFI telah dan akan terus memastikan setiap inisiatif di bawah pakej ekonomi untuk agromakanan sampai kepada golongan sasar dalam memastikan kelangsungan setiap peringkat rantaian makanan supaya rakyat terus mendapat bekalan makanan yang mencukupi dan berkhasiat,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Ronald berkata, MAFI turut memperkenalkan Program Vaksinasi barisan hadapan Industri Agromakanan (AiVAC).

Program ini katanya, merupakan satu usaha yang dirancang oleh MAFI bagi membantu kerajaan meningkatkan pengambilan vaksinasi dalam kalangan pekerja dan individu-individu yang terlibat dalam sektor agromakanan selaras dengan matlamat bagi mempercepatkan vaksinasi dan mencapai imuniti kelompok.

Ujarnya, program berkenaan juga dilaksanakan bagi melindungi kesejahteraan pekerja-pekerja dan seterusnya membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi serta rantaian nilai makanan di Malaysia.

“Inisiatif dengan kerjasama MOSTI dan Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) ini akan dilaksanakan dalam sedikit masa lagi.

“Program AiVAC ini akan melibatkan semua jabatan dan agensi di bawah MAFI di peringkat persekutuan, negeri dan daerah termasuk PPK dan PNK.

“Melalui program ini, MAFI menjangkakan semua frontliner sektor agromakanan akan lengkap divaksinasi menjelang November 2021,” katanya.

Sebelum ini kata beliau, MAFI telah menyokong dan memudahcara proses vaksinasi melalui syarikat-syarikat dalam sektor agromakanan melalui Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

Pada masa yang sama katanya, perkembangan positif kadar vaksinasi harian yang telah dan sedang dilaksanakan kerajaan memberi keyakinan kepada bahawa Pelan Pemulihan Negara dapat dijayakan bersama.

Sementara itu, Ronald berkata, menyedari bahawa penularan pandemik Covid-19 telah memberi kesan kepada golongan peladang, penternak dan nelayan yang terjejas pendapatan dan juga terputus bekalan makanan, MAFI melalui jabatan dan agensi sedang giat menggerakkan program bakul makanan MAFI Prihatin di seluruh begara bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mereka.

Sehingga kini kata beliau, dianggarkan seramai 63,000 penerima yang terjejas akibat Covid-19 di 300 lokasi seluruh negara telah mendapat manfaat sumbangan bantuan in-kind dalam bentuk barangan keperluan harian dan barangan makanan melalui Program MAFI Prihatin itu. – MalaysiaGazette