Home Politik MCA, MIC tetap sokong kerajaan PN

MCA, MIC tetap sokong kerajaan PN

Ahli Parlimen Tapah yang juga Timbalan Presiden MIC, M Saravanan bercakap pada sidang media tergempar berkenaan mengambil pendirian untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional di Menara DBKL, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 06 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Parti komponen Barisan Nasional (BN) – MCA dan MIC tetap berpegang teguh kepada ketetapan dibuat tahun lalu iaitu untuk kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasioan (PN).

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden, Datuk M. Saravanan menegaskan, pendirian mereka tidak akan berubah selagi keputusan dibuat BN itu kekal.

Ka Siong berkata, Biro Politik MCA sudah membuat keputusan untuk membawa ketetapan BN yang diluluskan tahun lalu untuk menyertai PN.

“Keputusan itu adalah sehingga Pilihan Raya Umum (PRU-15) akan datang. Selagi keputusan itu kekal, kita rasa terpanggil membawa laporan ini bersama dengan rakan seperjuangan dalam BN.

“Kita akan bersama kerana kita mementingkan rakyat, soal Covid-19 yang sedang kita uruskan dan akhirnya rakyat membuat keputusan,” katanya dalam sidang media tergempar ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini.

Sidang media pukul 11.30 pagi itu diketuai Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Bera.

Dalam pada itu,  Saravanan pula berkata, MIC turut berpegang kepada pendirian sama sebagaimana yang dikatakan Ka Siong.

Ahli Parlimen Tapah itu berkata, segala keputusan seharusnya dibuat di peringkat tertinggi BN.

“Setakat ini, kita memang pegang kepada keputusan pucuk pimpinan MIC dan BN. MCA dan MIC tetap akur dengan keputusan BN sebab kami diberi peluang untuk bertanding atas tiket BN.

“Maka segala keputusan harus dibuat di peringkat BN. Jadi sehingga sebarang (keputusan lain dibuat), kita teruskan sokongan kita (kepada kerajaan),” katanya.

Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, persoalan terbesar ahli akar umbi BN ketika ini apakah hala tuju gabungan itu selepas membuat ketetapan untuk tidak bekerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Bukan saya sahaja, satu Malaysia sama. Apa pendirian BN keluar (kerajaan)? Kerajaan jatuh? Apa nak jadi?

“Dengan kes Covid-19 meningkat, ekonomi terjejas dan krisis politik lagi. Sampai satu Malaysia tidak tahu jawapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette