Home Seni Hidup Hafiz, Ernie pertama kali berduet

Hafiz, Ernie pertama kali berduet

Kualiti vokal Hafiz Suip dan Ernie Zakrie tidak perlu dipertikaikan lagi.

KUALA LUMPUR – Kualiti vokal dua penyanyi terkenal tanah air, Hafiz Suip dan Ernie Zakrie tidak perlu dipertikaikan lagi.

Kelebihan dimiliki mereka berdua berjaya meletakkan diri mereka di kelas teratas kalangan penyanyi-penyanyi di Malaysia.

Malah, baik Hafiz mahupun Ernie, mereka boleh dikatakan antara penyanyi terbaik negara ketika ini. Hampir semua lagu yang dilancarkan mereka berjaya mendapat tempat di hati pencinta muzik sekali gus meraih pengiktirafan membanggakan.

Selepas masing-masing mencapai puncak kerjaya, persembahan mereka pada acara Anugerah Bintang Popular BH ke-33 (ABPBH 33) tahun lalu membuka ruang bagi kedua figura terkenal ini meneruskan kerjasama mereka menerusi lagu duet terbaru, Berakhirlah Pencarianku.

Gandingan Hafiz dan Ernie menerusi lagu ciptaan komposer hangat masakini, Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh serta lirik oleh Penerbit drama terkenal, Datuk A. Aida itu menjadikan lagu terbitan bersama syarikat Nova Music dan Rocketfuel itu cukup istimewa.

Berakhirlah Pencarianku adalah kerjasama pertama antara Nova Music dan Rocketfuel Entertainment. Pertemuan membabitkan Pengarah Urusan Nova Music, Rosmin Hashim dan Head of Rocketfuel Entertainment, Feros Sayna membawa kepada kolaborasi yang disifatkan projek ‘terbaik’.

Ini kerana, pemilihan Hafiz dan Ernie bagi menyanyikan lagu Berakhirlah Pencarianku itu dianggap bertepatan sekali berdasarkan kredibiliti dan kecemerlangan kedua penyanyi hebat itu. Maka, tidak menghairankan baik Nova Music dan Rocketfuel Entertainment, kedua syarikat mengharapkan pertaruhan ini bakal mencipta sejarah tersendiri.

Apatah lagi bila lagu Berakhirlah Pencarianku itu turut terpilih menjadi lagu tema utama drama rantaian yang bakal ditayangkan di Astro Ria tidak lama lagi.

Hafiz Suip dan Ernie Zakri pertama kali bergandingan menerusi lagu duet terbaharu, Berakhirlah Pencarianku.

Kolaborasi pemilik dua vokal terbaik industri muzik Malaysia dalam lagu itu juga diibaratkan oleh kedua penyanyi ini sebagai mimpi menjadi kenyataan.

Hafiz, 31, atau nama sebenarnya Mohd. Hafiz Mohd Suip berkata, tidak ada sebab untuk dia menolak tawaran itu.

“Alhamdulillah, bagi saya ini projek yang boleh diibaratkan mimpi menjadi kenyataan kerana dapat juga berduet dengan Ernie. Sebelum ini, saya pernah menyaksikan persembahan duetnya dengan protege saya. Dalam masa sama dia juga seorang guru vokal.

“Saya tahu dia berbakat besar dan pernah menang vokal terbaik. Apabila kami diberi peluang berduet pada ABPBH tahun lalu, saya berasakan ia kerjasama yang cukup menarik. Dari situ kami berborak dan diakui dia seorang yang senang jalin kerjasama termasuk ketika menyanyi bersama.

“Sama juga dengan pasangan duet saya yang lain sebelum ini. Sejak itu, saya berasa bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Ernie. Dengan kelebihan yang dimiliki beliau, siapa yang tak nak berduet dengan dia?” katanya.

Menurut Hafiz, kolaborasi mereka menerusi lagu Berakhirlah Pencarianku memberi peluang kepada mereka berdua untuk berkongsi pengalaman yang ada.

Sementara itu, Ernie, 29, atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri menyifatkan kerjasama menerusi lagu duet Berakhirlah Pencarianku dengan Hafiz sesuatu yang cukup bermakna dalam kerjaya seninya.

“Sejujurnya saya banyak berfikir juga di peringkat awal untuk melibatkan diri dalam projek ini sebab saya baru lancar lagu duet dengan Syamel iaitu Goodbye Hello yang merupakan lagu perkahwinan kami.

“Tapi apabila dinasihatkan oleh syarikat pengurusan saya bahawa ini adalah peluang keemasan bagi saya, saya berasa rugi kalau ditolak. Lagi pula, pelaksanaan projek ini adalah demi kebaikan kerjaya saya sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, single duet terbaru, Berakhirlah Pencarianku nyanyian Hafiz dan Ernie terbitan Nova Music dan Rocketfuel Entertainment telah dilancarkan 30 Julai lalu. – MalaysiaGazette