KOTA TINGGI – Berpantang maut sebelum ajal, demikian yang dialami seorang penghantar makanan apabila dia hanya patah kaki selepas dihempap pokok dalam kejadian angin kencang dan hujan lebat di Jalan Besar Pekan Telok Sengat, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 3 petang melibatkan seorang lelaki berusia 23 tahun dari Felda Sungai Mas.
Katanya, selain motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggang mangsa, turut terlibat dalam kejadian itu adalah sebuah kereta jenis Perodua Axia dipandu warga emas berusia 61 tahun yang kemik di bahagian kiri.
“Ketika kejadian, cuaca hujan dan angin kuat. Sebatang pokok besar tumbang dan menghempap bahagian hadapan kereta Perodua Axia.
“Setibanya di lokasi kejadian, tiba-tiba sebatang pokok besar telah tumbang dan menghempap sedikit bahagian hadapan sebelah kiri kenderaan pengadu,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.
Hussin berkata, Ketua Polis Balai Telok Sengat bersama anggota bergegas ke tempat kejadian untuk membuat kawalan lalu lintas serta memberikan bantuan kecemasan di lokasi.
Ketika tiba ditempat kejadian, katanya, mangsa terbaring atas jalan raya.
Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Daerah Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan. – MalaysiaGazette