Home Pendapat Hikmah penjarakan fizikal dalam mencegah perbuatan maksiat

Hikmah penjarakan fizikal dalam mencegah perbuatan maksiat

Antara 10 individu termasuk lima wanita tempatan yang menyewa bilik di sebuah residensi mewah di ibu negara diserbu dan ditahan pihak polis selepas terlibat dalam parti liar ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 JULAI 2021.

MASYARAKAT dilihat sudah boleh memahami dan mengadaptasi salah satu prosedur operasi standard (SOP) dalam mencegah penularan COVID-19 iaitu mematuhi penjarakan fizikal. Jika sebelum ini, pelbagai aktiviti sosial, keraian dan pelbagai lagi boleh dilakukan dengan kehadiran ramai orang serta penjarakan fizikal. Pastinya kita merindui suasana majlis perkahwinan yang meriah dengan ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai
mahupun makan semeja beramai-ramai di restoran dan kedai mamak.

Namun selepas kedatangan pandemik Covid-19, norma kehidupan sosial masyarakat telah berubah secara total, hinggakan suami isteri pun tidak boleh duduk rapat walaupun semeja untuk makan di restoran kerana mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Pematuhan kepada penjarakan fizikal secara tidak langsung menghalang setiap individu untuk duduk dengan rapat bersama individu lain meskipun terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan, kenalan dan sebagainya.

Penulis melihat penjarakan fizikal juga dikupas dari perspektif agama iaitu jika dilihat dari
sudut pandangan Islam, setiap individu perlu menganggap semua orang di sekelilingnya
selain dari keluarganya sebagai bukan mahram, yang haram untuk bersentuh. Pematuhan
kepada SOP penjarakan fizikal ini secara tidak langsung mendidik umat Islam untuk menghayati nilai dan adab dalam Islam yang sentiasa menekankan kepada mengamalkan
penjarakan sesama bukan mahram dalam apa jua situasi dan keadaan.

Agama kita menyeru agar lelaki dan perempuan yang bukan mahram untuk sentiasa
menjaga jarak agar tidak berlaku ikhtilat (percampuran antara lelaki dan perempuan),
mengasingkan barisan antara lelaki dan perempuan, menjarakkan diri apabila berinteraksi
dengan bukan mahram dan memisahkan ruang apabila berada di dalam suatu lokaliti atau
bangunan yang sama. Tindakan ini sekali gus berupaya mencegah daripada berlakunya
aktiviti aktiviti yang membawa kepada kemaksiatan apabila berada dalam pertemuan sosial yang melibatkan interaksi seperti majlis jamuan, acara keraian dan lain-lain aktiviti.

Kelekaan dan pengabaian kepada menjaga jarak antara bukan mahram merupakan salah
satu punca kepada masalah sosial khususnya dalam kalangan remaja kini sehingga berlaku kes buang anak, bersekedudukan antara bukan mahram, seks bebas, sumbang mahram dan sebagainya. Sesungguhnya maksiat yang ditafsirkan sebagai perkara kemungkaran yang boleh membawa manusia kepada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah perlulah kita jauhi.

Berbalik kepada sebab kenapa manusia diciptakan, tidak lain hanya untuk beribadah
kepada Allah sebagaimana yang diperintahkan Allah dalam maksud Surah Az-Dzariyat ayat 56, “Dan aku ciptakan jin dan manusia hanya untuk beribadah kepadaku”. Maka tidak dapat tidak, menjadi tanggungjawab hambaNya untuk menggunakan nikmat tubuh badan dan seluruh pancaindera untuk taat kepada perintah Allah dan sentiasa menjauhi perkara maksiat.

Semoga hikmah pandemik ini menjadi medan muhasabah diri untuk berhijrah dari
melakukan perkara maksiat kepada cara hidup norma baharu yang sebenarnya telah
diperintahkan oleh Allah SWT sekian lama untuk hambaNya taati.

 

Al ‘Uyuna Mohd Amin
Penulis merupakan Penolong Pendaftar Kanan di Pusat Perumahan Pelajar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)