Home Utama Vaksin walk-in di enam negeri

Vaksin walk-in di enam negeri

Reaksi seorang warga emas, Khoo Swee, 101 selepas menerima suntikan vaksin dos kedua ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital KPJ Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 27 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak enam negeri sudah dibenarkan untuk memulakan inisiatif pemberikan vaksin secara datang terus atau ‘walk-in’.

Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) berkata, inisiatif yang dimulakan di Lembah Klang itu akan diperluaskan ke Pusat-Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam di seluruh Malaysia untuk kumpulan tertentu dalam masa terdekat ini.

“Negeri Perak, Kedah, Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan Sarawak telah memulakan inisiatif walk-in kepada warga emas, termasuk Kelantan yang membuka secara pra-tempahan.

“Perincian pelaksanaan vaksinasi secara walk-in akan dimaklumkan oleh CITF negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri masing-masing. Ini termasuklah penjadualan vaksinasi dan kuota harian vaksinasi secara walk-in di PPV bagi setiap negeri,” kata CITF dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun menurut CITF, hanya lima golongan yang dikhususkan untuk program vaksinasi secara walk-in ini.

Mereka adalah warga emas, orang kurang upaya (OKU), individu dengan komorbid berusia 18 tahun dan ke atas, individu yang terlepas suntikan dos kedua dan guru, anggota kumpulan pelaksana dan pekerja perkhidmatan sokongan kontrak di institusi pendidikan KPM.

“Bagi individu yang terlepas suntikan dos kedua, mereka boleh pergi ke mana-mana PPV yang berhampiran dengan kediaman. Sekiranya PPV tersebut tidak menawarkan vaksin dari jenis yang sama dengan dos 1 mereka, mereka akan dirujuk ke PPV lain,” kata CITF.

Dalam pada itu, CITF juga berkata, bagi penduduk Lembah Klang yang tidak tergolong dalam mana-mana kategori yang dinyatakan, namun ingin mendapatkan vaksin secara walk-in mereka hanya perlu pergi ke PPV yang telah disenaraikan sebelum ini.

Bagaimanapun, ia hanya tertakluk kepada dos pertama sahaja.

“Walk-in ke PPV yang telah disenaraikan sebelum ini dibenarkan mengikut waktu operasi PPV masing-masing dan tidak lagi bermula hanya jam 2 petang,” kata CITF. – MalaysiaGazette