TOKYO – Seramai 10 orang penumpang cedera apabila seorang lelaki menyerang para penumpang dengan pisau di dalam komuter.
Suspek, 36, dikatakan memberitahu polis dia menjadi marah ketika melihat wanita yang “kelihatan gembira” lalu dia ingin membunuh mereka, menurut laporan media tempatan.
Seorang pelajar perempuan, cedera parah, sementara yang lain mengalami cedera ringan.
Lelaki itu menyerang penumpang dalam kereta api berhampiran stesen Seijogakuen pada kira-kira pukul 20:40 (11:40 BST) pada hari Jumaat.
Kereta api berkenaan dihentikan secara kecemasan oleh pemandu selepas terdengar bunyi bising dari dalam gerabak.
Menurut penyiasat, suspek melompat ke trek kereta api dan melarikan diri.
Suspek kemudian memasuki sebuah kedai serbaneka dan memberitahu pekerja di situ dia adalah suspek dalam kejadian yang dilaporkan oleh media dan sudah bosan melarikan diri.
Polis Metropolitan Tokyo mengesahkan pada awal hari ini telah menangkap seorang lelaki berusia 30-an.
Sementara itu, sembilan daripada 10 yang cedera dibawa ke hospital.
Walaupun Jepun menjadi salah satu negara paling selamat di dunia tetapi beberapa kejadian serangan pisau dilaporkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada tahun 2019, seorang lelaki menyerang sekumpulan pelajar sekolah yang sedang menunggu bas di Kawasaki.
Dua orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 18 cedera. – BBC