Home Sukan Shah Firdaus dikejarkan ke hospital, disyaki patah rusuk

Shah Firdaus dikejarkan ke hospital, disyaki patah rusuk

Shah Firdaus dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan di rusuk akibat kemalangan. - Foto Astro Arena.

KUALA LUMPUR – Jaguh trek berbasikal negara, Shah Firdaus Sahrom terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan pada rusuk selepas berjaya melayakkan diri ke suku akhir acara Keirin, sebentar tadi.

Menurut kemas kini di laman Facebook Team Malaysia, Anggota Pengurusan Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Datuk Amarjit Singh berkata, Shah Firdaus mungkin mengalami patah tulang rusuk.

Kecederaan itu berpunca daripada kemalangan dialaminya ketika pusingan saringan acara berkenaan di Velodrom Izu.

Difahamkan, Shah Firdaus dibawa oleh petugas paramedik ke Hospital Universiti Juntendo, Shizouka.

Shah Firdaus kemalangan selepas berlaku himpitan dengan pelumba Great Britain, Jack Carlin mengakibatkan perlumbaan semula tidak dapat diteruskan.

Bagaimanapun kecederaan bukan penghalang untuk kekal dengan aksi bertenaga apabila pelumba kelahiran Muar itu memilih menyertai pusingan repechage bagi merebut tempat ke suku akhir.

Kecederaan yang dialami Shah Firdaus di bahagian rusuk tidak menghentikan perjuangan atau mengganggu prestasinya.

Aksi penuh mendebarkan apabila dia sekali lagi hampir terjatuh namun henjutan terakhir yang menyaksikan dia mengenepikan kesakitan berjaya membawanya berada di kedudukan kedua, sekali gus menempah tempat di suku akhir. – MalaysiaGazette