LONDON – Pemilik kelab Chelsea, Roman Abramovich dilaporkan sedang terlibat dalam usaha mengadakan perjumpaan tergempar bersama kem Lionel Messi yang kini sudah meninggalkan Barcelona.
Laporan di Stamfrod Bridge mendakwa langkah itu bagi membincangkan potensi tawaran kontrak lumayan untuk superstar pujaan dunia bola sepak itu.
Dalam kenyataan rasmi mengejut oleh the Catalans pada Khamis mengumumkan bahawa Messi, 34, telah beraksi dalam perlawanan terakhirnya sebelum meninggalkan Nou Camp selepas 21 tahun di Catalonia.
Pemenang enam kali anugerah Ballon d’Or itu dianggap pemain terbaik dalam sejarah bola sepak dan menjadi pemain bebas ejen pada 1 Julai lalu.
Sebelum ini Messi telah bersetuju menerima kontrak baharu dengan pemotongan gaji mingguan sebanyak 50 peratus untuk kekal di kelab itu.
Namun, segala rundingan awal itu tidak membuahkan hasil dan pasukan gergasi La Liga Sepanyol menyalahkan kekangan peraturan kewangan yang dilaksanakan oleh La Liga sebagai punca utama pemain itu terpaksa meninggalkan kelab itu.
Ia mengakibatkan Messi buat julung kali terlibat dalam usaha mencari kelab baharu untuk meneruskan karier bola sepaknya selepas 21 tahun bersama Barcelona.
Bagaimanapun, akhbar AS di United Kingdom mencadangkan Chelsea pernah mencuba untuk membeli pemain itu Mac lalu.
Manchester City dan Paris Saint Germain merupakan dua kelab yang sedang bersaing di hadapan untuk mengikat khidmat pemain Argentina itu.
Tetapi, kali ini the Blues kendalian Thomas Tuchel percaya Manchester City tidak mampu mendapatkan Messi memandangkan skuad Pep Guardiola baru sahaja mengeluarkan dana terbesar dalam sejarah EPL untuk mendapatkan jack Grealish dari Aston Villa dengan dana berjumlah £100 juta.
Justeru Chelsea dalam proses akhir untuk mendapatkan semula bekas pemainnya Romelu Lukaku dari Inter Milan selepas pemain itu memutuskan untuk kembali ke Stamford Bridge kali ini.
Namun, satu lagi perkembangan di Paris mendakwa kelab Ligue 1 Perancis, PSG pula bakal melengkapkan khidmat Messi dalam minggu akan datang.
Laporan mendakwa Messi sudah bersetuju untuk menyertai kelab Ligue 1Perancis itu dengan kontrak dua tahun bergaji lumayan.
Bagaimanapun kem Messi masih belum mendedahkan sebarang butiran lanjut berkaitan isu viral itu.- Metro.co.uk