SUBANG – Jalur Gemilang yang didakwa berkibar dalam keadaan terbalik di Vista Millenium, Taman Puchong Perdana yang menjadi tular di media sosial berlaku kerana tiang bendera tersebut patah akibat ditiup angin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang, Superintendan Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya mengesan rakaman video pendek Jalur Gemilang terbalik itu melalui Twitter.
Katanya, video itu dikesan pada 6 Ogos 2021 sekitar jam 9.25 malam yang dimuat naik oleh pemilik akaun bernama Farwah Qalbi.
“Pada jam 10.40 malam pegawai polis Balai Polis Bukit Puchong telah pergi ke Vista Millenium, Taman Puchong Perdana.
“Pemeriksaan mendapati tiang bendera tersebut telah patah akibat ditiup angin dan menyebabkan jalur gemilang menghala ke bawah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pengawal keselamatan yang bertugas di kediaman itu telah menurunkan jalur gemilang tersebut serta-merta dan digantikan dengan tiang bendera yang baharu.
Amihizam berkata, satu laporan polis telah dibuat dan ciapan yang dibuat di laman sosial Twitter juga telah dipadam sejurus selepas tindakan diambil berkaitan isu tersebut.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat atau menyebarkan maklumat tanpa usul periksa. – MalaysiaGazette