KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyambut baik pengumuman perdana menteri berhubung kemudahan-kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap baru-baru ini.
Pengumuman ini merupakan langkah yang tepat bagi membantu usahawan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menggerakkan kembali perniagaan mereka dalam tempoh yang mencabar ini, kata menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
PMKS yang berjumlah lebih 1.15 juta pada tahun 2020, memberi sumbangan yang amat signifikan dalam pembangunan sosio-ekonomi negara, di mana ianya menyumbang kepada hampir separuh guna tenaga di negara ini iaitu sebanyak 7.3 juta orang.
Oleh itu, pengumuman berhubung ekonomi rakyat dan kelangsungan perniagaan amatlah bertetapatan.
Wan Junaidi berkata, keputusan ini bakal memberi sinar kepada usahawan yang mengusahakan industri makanan khususnya restoran atau kedai makan juga kepada usahawan yang menjalankan perniagaan pelancongan seperti inap desa.
Kelonggaran kepada penerima vaksin yang lengkap dua dos diharapkan dapat menyuntik kembali sektor keusahawanan negara di mana PMKS amat bergantung kepada sokongan rakyat/pelanggan bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka hidup.
”Tidak dinafikan usaha kerajaan untuk meningkatkan kadar vaksinasi sudah menunjukkan pencapaian yang amat membanggakan.
”Terbukti rakyat menyahut panggilan dan menyambut baik seruan kerajaan ini untuk menerima vaksinasi. Adalah diharapkan PMKS tidak terkecuali daripada mendapatkan vaksinasi ini”.
”Dengan pengumuman ini diharapkan usahawan dapat meneruskan kelangsungan operasi perniagaan mereka dalam tempoh yang sukar ini,” katanya dalam kenyataan di sini. – MalaysiaGazette