Home Pendapat Hijrah ke arah kebebasan

Hijrah ke arah kebebasan

Gambar hiasan.

SAMBUTAN tahun baru Islam atau juga disebut sebagai Ma’al Hijrah pada tahun
1443H/2021M kali ini boleh dianggap unik seperti mana tahun lepas. Keunikan ini
boleh dilihat dalam konteks Malaysia, yang mana akan menyambut Ma’al Hijrah ketika
masih berusaha dalam membendung penularan Covid-19 di samping ianya di
sambut dalam bulan kemerdekaan.

Oleh itu, adalah amat sesuai untuk mengaitkan konsep Hijrah dengan erti kebebasan. Kemerdekaan yang digapai oleh Malaysia adalah satu bentuk kebebasan dari kuasa penjajahan. Penjajahan yang berlaku juga bukanlah semata-mata penguasaan
politik, namun ia penjajahan agama, kebudayaan dan kekayaan. Justeru itu, bangkitlah pejuang nasionalisme yang berusaha membebaskan negara dari belengu penjajahan ini dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas dan merdeka.

Inilah sejarah “hijrah” yang pernah berlaku dalam tanah air kita, Malaysia. Namun
begitu, semangat hijrah tersebut tidaklah terhenti di situ. Dengan perubahan dan
perkembangan zaman, banyak unsur dan budaya luar kembali menjajah budaya dan
pemikiran masyarakat. Perkara ini amat membimbangkan, apatah lagi ancaman seumpama ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan fizikal sebagaimana penjajahan barat dan Jepun di tanah air satu ketika dahulu.

Pengaruh luar kini telah menghakis sedikit demi sedikit identiti masyarakat Malaysia
khususnya masyarakat Melayu Islam. Sejarah telah membuktikan usaha dakwah murni untuk mengislamisasi masyarakat di tanah Melayu satu ketika dahulu telah menjadikan Malaysia sebuah negara Islam. Perkara ini dilihat menjadi satu titik penting mengapa sebahagian pejuang kemerdekaan di tanah Melayu berungguh-sungguh menuntut kemerdekaan dari penjajah yang memberi ancama kepada agama dan budaya masyarakat ketika itu.

Namun, masa berlalu begitu pantas, generasi baharu yang tidak lagi terdedah
dengan sejarah kemerdekaan kerana mungkin kebergantungan kepada media sosial
yang capaiannya kini merentas negara dan benua. Pilihan ditangan mereka untuk
memilih maklumat yang berbentuk fakta ataupun hiburan. Bahkan, maklumat yang
diperolehi dalam internet itu bercampur aduk antara kebenaran dan kepalsuan.
Situasi ini sebenarnya amat membimbangkan.

Hijrah Rasulullah SAW bersama kaum muslimin ke Madinah adalah antara lain untuk mendapatkan kebebasan. Kebebasan dalam konteks ini adalah kebebasan untuk beribadat, kebebasan dari penindasan dan kebebasan dari belenggu kejahilan. Tiga elemen ini boleh distrukturkan sebagai mempertahankan amalan keagamaan Islam, menjauhi penindasan golongan kafir dan meningkatkan kefahaman Ilmu agama boleh menjadi asas penting untuk melakukan hijrah ke arah masyarakat Islam yang lebih baik di Malaysia.

Salah faham yang membelenggu masyarakat Islam hari ini terhadap konsep kebebasan juga menjadi cabaran baharu. Hal ini kerana idea kebebasan barat kini dilihat lebih dominan mempengaruhi pemikiran masyarakat pada hari ini. Kebebasan mutlak adalah menjadi intipati yang diperjuangkan. Idea ini sebenarnya amat mengelirukan kerana ketidakjelasan maksud kebebasan mutlak, bahkan di negara barat kebebasan mutlak ini sebenarnya hanyalah retorik.

Masyarakat Islam tetap didiskriminisasi dan orang kulit hitam masih lagi memperjuangkan hak mereka. Tambahan pula, ada usaha untuk membuktikan bahawa Islam ini tidak menghalang kebebasan mutlak, bahkan ayat yang menjadi slogan utama mereka adalah Islam memaksa dalam beragama. Sedangkan dalam Islam itu terdapat tiga tonggak utama iaitu akidah, syariat dan akhlak. Akidah itu sediri membawa maksud ikatan dari sudut bahasa yang menjelaskan bahawa mereka yang memeluk Islam terikat dengan aturan syarak.

Jadi, Islam sememangnya agama yang memperjuangkan kebebasan, kebebasan Islam tidak sama dengan kebebasan yang dibawa barat. Sejarah Islam mencatatkan perkataan Rib’i bin ‘Amir dihadapan Rustum panglima tentera parsi, iaitu; “Allah telah membangkitkan kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dari perhambaan terhadap sesama hamba kepada perhambaan kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”

Justeru, bersempena dengan semangat kemerdekaan dan hijrah ini, sewajarnya perjuangan dan jihad pejuang kemerdekaan didedahkan kepada masyarakat khususnya generasi baharu. Matlamat perjuangan ini bukan semata-mata membebaskan tanah air dari kerakusan penjajah, namun mempertahankan identiti Islam. Perlu ada usaha untuk membebaskan masyarakat daripada penjajahan minda dan budaya yang sedang giat berlaku.

Beberapa inisiatif mungkin boleh diambil dengan mempertimbangkan tiga elemen hirah Rasulullah SAW dan kaum muslimin ke Madinah, iaitu; memantapkan kembali amalan keagamaan masyarakat Islam, meningkatkan kefahaman dan keilmuan agama disamping memberi pendedahan mengenai ideologi yang wujud yang mengancam Islam, dan mengambil pendekatan “sad al-dhariah”, menutup pintu yang boleh membawa kemungkaran dengan menghadkan budaya-budaya negatif dari masuk ke Malaysia sama ada fizikal mahupun secara maya. Selain itu, marilah sama-sama mendoakan agar Malaysia juga dibebaskan daripada wabak Covid-19 yang telah mengancam jutaan nyawa.

Dr. Muhammad Ikhlas Rosele
Pensyarah Kanan
Jabatan Fiqh dan Usul
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya