Home Pendapat Mengurangkan depresi dengan bercucuk tanam

Mengurangkan depresi dengan bercucuk tanam

Pekerja LadyBird Organic Farm memecahkan tanah bagi menanam semula sayur-sayuran organik ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Jalan Broga, Semenyih, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 04 FEBRUARI

MALAYSIA dikejutkan dengan kes bunuh diri, mencederakan diri, keganasan rumah
tangga, penderaan dan lain-lain ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ini
disebabkan masyarakat dihambat dengan pelbagai masalah kewangan dan sosial
dalam menjalani kehidupan yang semakin sukar. Ia ditambah dengan masalah
kehilangan kerja, pemotongan gaji dan kesukaran mendapatkan pekerjaan dan mencari
rezeki buat ahli keluarga. Kepayahan dan kegelisahan ini akan menyebabkan
masyarakat menghadapi tekanan emosi dan depresi.

Ramai di kalangan masyarakat terdedah dan menghadapi depresi ketika ini.
Bagaimana mengatasi masalah ini sedikit sebanyak adalah bergantung kepada
individu. Ada dikalangan mereka terpaksa berjumpa pakar psikiatri bagi mengubati
depresi. Ada yang berjaya mengatasi dengan terapi buku. Mereka memilih untuk
membaca bagi mengatasi masalah depresi yang dihadapi. Pemilihan bahan bacaan
yang sesuai dapat membantu mengurangkan dan memulihkan depresi yang dihadapi.
Ianya dinamakan biblioterapi, terapi melalui bahan bacaan. Mendekatkan diri dengan
tuhan dan pembacaan bahan-bahan berbentuk keagamaan juga dapat mengurangkan
masalah yang dihadapi.

Selain daripada pembacaan, bercucuk tanam juga sebenarnya dapat mengurangkan, malah dapat melenyapkan depresi yang dihadapi. Sekiranya seseorang itu minat bercucuk tanam, ia sedikit sebanyak dapat membantu seseorang untuk melupakan sejenak kepayahan dan kekalutan menguruskan kerja ketika PKP, menguruskan pembelajaran dalam talian anak-anak dan urusan rumah tangga. Kebanyakan aktiviti luar rumah adalah terbatas, dan peluang yang ada perlu diuruskan dengan bijak walaupun berada di rumah.

Bercucuk tanam selain dapat menyihatkan tubuh badan, ianya dapat mendatangkan
hasil untuk digunakan oleh keluarga. Kebiasaannya kita dapat menanam sayur-sayuran, buah-buahan yang dapat dimakan serta dapat menjimatkan belanja kewangan bagi pembelian di kedai. Lebihan hasil tanaman dapat dikongsi bersama jiran. Era kini kita dalam mengikuti kumpulan-kumpulan di media social secara berfokus bagi mendapatkan panduan dan cadangan bagi tanaman yang akan dilaksanakan.

Contoh mudah bercucuk tanam di rumah adalah dengan menanam kangkung, sawi, kesum, terung, cili, bendi, tomato, tembikai, daun sup, daun bawang dan lain-lain yang dapat mendatangkan hasil kepada keluarga. Panduan yang diperolehi dapat menjadikan kita sebagai pekebun yang berjaya meskipun dalam kawasan rumah sendiri. Bercucuk tanam dapat membuatkan kita tenang dan gembira, terutama apabila hasil daripada penanaman diperoleh. Ianya tidak mengambil masa yang lama, sekadar mengisi masa lapang selepas selesai tugasan kerja dan pengurusan anak-anak dan keluarga. Ambil masa sekitar satu hingga dua jam seminggu dengan berkebun, pasti hati akan lebih tenang dan masalah depresi dapat diatasi.

Apabila kita telah mula bercucuk tanam dan melihat hasilnya, perasaan ingin menambah koleksi tanaman dan mencuba penanaman sayuran dan pokok baharu akan terbit. Ilmu dapat diperoleh dengan pelbagai medium pembacaan. Selain media sosial terdapat pelbagi jenis bahan bacaan berkaitan penanaman pokok, petua berkebun dapat diperoleh untuk peningkatan ilmu pengetahuan.

Cara paling mudah untuk memulakan penanaman dan bercucuk tanam di kawasan
rumah agar mudah dijaga dan diselenggara:
1. Sediakan bekas pasu plastik dan tanah yang sesuai. Jika tanaman hidroponik,
sediakan bekas dan peralatan yang sesuai.
2. Beli biji benih daripada kedai-kedai yang berkaitan.
3. Buat sedikit kajian berkaitan tanaman yang hendak ditanam. Bagaimana penjagaan yang diperlukan bagi setiap tanaman. Ini kerana setiap tanaman ada pelbagai cara dan kaedah.
4. Tempatkan di kawasan yang sesuai. Ambil kira pencahayaan dan keperluan lain.
5. Luangkan masa untuk menyediakan pasu pokok tanaman.
6. Buat penjagaan dan pemerhatian setiap hari sekitar 30 minit bagi memastikan
tanaman tumbuh sempurna dan selamat.
7. Pembajaan diperlukan mengikut masa yang sesuai dengan jenis tanaman.
8. Kutip hasil apabila sampai tempoh.

Hasil yang diperoleh pastinya yang terbaik untuk hidangan keluarga kerana terhindar
daripada penggunaan racun yang berbahaya. Ia dapat menjamin keselamatan kesihatan dan pastinya akan mengurangkan kos perbelanjaan harian. Banyak manafaat diperoleh daripada bercucuk tanam. Jika anda menghadapi depresi, boleh cuba kaedah bercucuk tanam bagi mengatasi masalah dan menghadapi kehidupan dengan tenang. Terapi mata, terapi hati, terapi jiwa. Selamat mencuba!

Oleh: Marhaniza Abdul Halim, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Perpustakaan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)