Home Nasional Enam nelayan Vietnam termasuk OKU ditahan

Enam nelayan Vietnam termasuk OKU ditahan

Sebuah bot nelayan tempatan yang disyaki melanggar undang-undang di perairan Pahang semalam.

KUANTAN – Sebuah bot nelayan bersama enam kru Vietnam termasuk seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang semalam.

Penahanan dilakukan kira- kira 24.2 batu nautika timur muara Sungai Nenasi Rompin.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, pihaknya menahan sebuah bot nelayan tempatan yang disyaki melanggar undang-undang semasa menjalankan rondaan Op Makmur di perairan Pahang

“Aset Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot yang sedang menjalankan aktiviti perikanan dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri sebaik dihampiri aset Maritim Malaysia.

“Selepas berjaya ditahan, pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan itu dikendalikan enam kru termasuk tekong yang kesemuanya warga Vietnam berumur antara 26 sehingga 53 tahun termasuk seorang OKU,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan mengemukakan dokumen pengenalan diri yang meragukan.

Kesemua kru termasuk tekong telah diiring ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading bersama peralatan menangkap ikan serta hasil laut.

Dalam pada itu, menurutnya, tahanan akan menjalani ujian saringan Covid -19 di Klinik Kesihatan Rompin sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Justeru sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut komuniti maritim boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian bantuan kecemasan MERS 999. – MalaysiaGazette