KUALA LUMPUR – Tak payah tunggu musim durian, Perdana Menteri (PM) boleh panggil Parlimen bersidang segera tanpa menunggu bulan September ini.
Lagi pun majoriti ahli Parlimen juga sudah lengkap dos vaksin, sindir Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.
“Jadi PM boleh memanggil sidang Parlimen untuk bersidang minggu ini juga dan selesaikan undi percaya di Parlimen segera.
“Kita tidak perlu menunggu untuk musim durian ke musim apa-apa pun sampai bulan sembilan.. itu tidak perlu, kita fokus dan menyelesaikan masalah berbangkit sekarang,” katanya kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
Terdahulu, Nik Nazmi antara sembilan ahli Parlimen pembangkang yang hadir untuk sesi memberi keterangan kepada polisĀ membantu siasatan mengenai Himpunan Ahli-ahli Parlimen Pembangkang di Dataran Merdeka untuk berarak ke Parlimen membantah penangguhan persidangan Dewan Rakyat pada 2 Ogos lalu.
Malah tambah Nik Nazmi, jika benar Perdana Menteri mempunyai angka sokongan ahli Parlimen seperti dinyatakan kepada Yang Dipertuan Agong, maka tidak ada masalah untuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mengadakan undi percaya di Parlimen serta merta.
Beliau juga dalam satu lagi perkembangan lain meminta pihak berkuasa berlaku adil menjalankan siasatan membabitkan orang politik kerajaan yang berulang alik ke kediaman PM sebelum ini dengan dakwaan pelanggaran SOP.
“Saya nampak macam-macam bila ada pelanggaran orang protes sahaja disiasat tetapi menteri-menteri dan pemimpin pihak kerajaan yang melawat rumah peribadi PM tidak disiasat.
“Saya nak tahu atas dasar dasar apa menteri-menteri yang pergi ke rumah PM beberapa kali selepas titah tuanku tempoh hari yang mengatakan Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah mengelirukan dewan mengumumkan Ordinan Darurat terbatal,
“Beberapa kali sudah lihat menteri berhimpun di rumah PM tanpa ada masalah, bagaimana ia boleh dibiarkan berlaku kerana ada dalam kalangannya pemimpin berstatus warga emas.
“Tolong hentikan tekanan ke atas mereka yang bersuara untuk rakyat dan siasat seadil-adilnya ke atas pihak yang melanggar SOP dan keabsaan kerajaan yang ada dapat disahkan di Parlimen jika dapat bersidang segera,” ujarnya.-MalaysiaGazette