Home Nasional Pengusaha restoran nasi kandar, hotel sedia terima pelanggan

Pengusaha restoran nasi kandar, hotel sedia terima pelanggan

Restoran Hameediyah di Lebuh Campbell sedia menerima pelanggan yang lengkap suntikan vaksin Covid-19 untuk dine-in mulai esok.

GEORGE TOWN – Rata-rata pengusaha restoran dan hotel sekitar Pulau Pinang bersedia menerima pelanggan susulan pengumuman kerajaan membenarkan pelanggan yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 makan dalam premis (dine-in).

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, pekerja restoran nasi kandar, kedai makan serta hotel mula melakukan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi untuk menerima pelanggan mulai esok.

Muhammad Riyaaz.

Pengarah Restoran Hameediyah Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim, 30, berkata, persiapan untuk menerima pelanggan dilakukan sebaik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelonggaran Prosedur Operasi Standart (SOP) dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Jelasnya, sistem penggiliran nombor mengikut warna tertentu turut disediakan bagi membezakan pelanggan dine-in serta membeli secara bawa pulang bagi mengelakkan berlaku kesesakan dalam premis.

Kata Muhammad Riyaaz, pihak pengurusan restoran itu turut menempatkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi memeriksa dan membenarkan pelanggan yang sudah menerima dua dos vaksin untuk dine-in.

Pekerja restoran Hameediyah membersihkan bahagian kerusi susulan orang ramai yang telah lengkap dua dos vaksin dibenarkan dine-in mulai esok.

“Kita memang sudah bersedia menerima pelanggan bermula esok dan semua persiapan ke arah itu termasuk sanitasi premis dilakukan secara terperinci.

“Bagaimanapun, kami tetap menggalakkan orang ramai untuk membeli secara bawa pulang atau menerusi khidmat penghantaran ke rumah memandangkan kes jangkitan Covid-19 dalam negara belum menunjukkan penurunan ditambah pula dengan kewujudan varian baru.

“Memang diakui pelanggan lebih suka makan di restoran kerana rasa nasi kandar lebih sedap dimakan ketika panas tetapi sebagai langkah berjaga-jaga, kami lebih menggalakkan pelanggan bungkus dan makan di rumah,” katanya ketika ditemui di restoran itu di Lebuh Campbell, di sini, hari ini.

Untuk rekod restoran tersebut boleh memuatkan 190 orang dalam satu masa, namun kini hanya separuh saja dibenarkan susulan penjarakan fizikal yang ditetapkan kerajaan.

Kakitangan Hotel Royal melakukan kerja-kerja sanitasi.

Sementara itu, tinjauan di Hotel Royal Penang, Jalan Larut, di sini, mendapati kakitangannya giat melakukan sanitasi di bahagian restoran serta membersihkan semula bilik hotel.

Pengurus Besarnya, Amran Taib berkata, pihaknya mengalu-alukan kelonggaran bagi sektor pelancongan itu dan diharap dapat memberi nafas baru buat industri perhotelan yang kian lama menanggung kerugian tinggi akibat pandemik Covid-19.

Bilik hotel turut dibersihkan semula.

“Kita sudah lakukan pembersihan dan sedia menerima pelanggan, namun masih menunggu perincian penuh SOP daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

“Bagi sektor hotel, kita menjangkakan aktiviti dine-in menjadi tumpuan berbanding penginapan memandangkan kelonggaran untuk rentas daerah saja dibenarkan setakat ini,” katanya.

Tambah Amran, semua kakitangan hotel itu sudah melengkapkan pengambil vaksin dos pertama.

“Alhamdulillah, semua dah lengkap dos pertama dan sebahagian daripada mereka juga telah lengkap dos kedua. Ini sekali gus menunjukkan kami sudah siap siagakan diri untuk berdepan dengan pelanggan,” kata beliau.

Kakitangan hotel sedang membersihkan bilik susulan pengumuman kelonggaran SOP bagi penerima lengkap vaksin Covid-19.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin  mengumumkan kelonggaran bagi negeri yang berada pada fasa dua dan seterusnya Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan membenarkan aktiviti rentas daerah dan negeri, solat berjemaah di masjid dan surau serta dine-in di restoran bermula Selasa ini. – MalaysiaGazette