Home Nasional Reezal Merican digesa bawa idea dari Tokyo, laksana SOP baharu sukan

Reezal Merican digesa bawa idea dari Tokyo, laksana SOP baharu sukan

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar
Noh Omar
TANJONG KARANG – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican digesa memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu aktiviti sukan di negara ini, sebagaimana yang dilaksanakan dalam Sukan Olimpik 2020.
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, Malaysia boleh mengambil contoh daripada Jepun yang membenarkan kejohanan dunia itu dijalankan semasa pandemik Covid-19.
“Saya percaya sahabat saya mungkin akan membawa idea itu dan laksanakan di Malaysia.
“Surat MITI ini berhentikan lah, kena buat pendekatan baharu dan mungkin Datuk Seri Reezal Merican bila balik nanti boleh dapat idea.
“Kalau di Jepun pandemik Covid-19 memang berlaku, tapi sukan boleh buat.
“Mesti ada caranya bagaimana kita nak menggerakkan balik bukan sahaja sukan bahkan ekonomi dalam negara kita,” katanya kepada pemberita di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pertubuhan Peladang Tg Karang, hari ini.
Dalam pada itu, Noh juga merakamkan penghargaan kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang kerana berjaya merangkul pingat perak dalam Sukan Olimpik 2020.
“Alhamdulillah kita ucapkan tahniah kepada Datuk Azizulhasni Awang yang semalam telah memperolehi pingat perak dalam acara berbasikal di Sukan Olimpik 2020.
“Sebelum ini pun atlet kita telah memperoleh pingat gangsa dalam acara badminton.
“Mudah-mudahan beliau capai kejayaan dalam bidang sukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette