JOHOR BAHRU – Keputusan kerajaan membenarkan pekerja Malaysia di Singapura hanya perlu kuarantin di rumah sudah pasti memberi kelegaan buat mereka yang bekerja di Seberang Tambak Johor.
Namun bagi pekerja penghantar minuman, Shahruddin Hael Helmy Mohd Noh, 35, berkata, apa yang diharapkannya, segala keputusan dilakukan kerajaan itu tidak akan berubah pada saat-saat akhir.
Katanya, keputusan itu dapat menjimatkan kos berbanding jika diarah dikuarantin di pusat kuarantin yang ditetapkan.
“Sekiranya kami pekerja Malaysia yang berada di Singapura ini dibenarkan untuk kuarantin di rumah ianya adalah satu berita yang sangat baik bagi kami.
“Kerana jika sebelum ini, jika kami ingin pulang ke Malaysia kami perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di tempat di tetapkan dengan kos RM2,100,” katanya menerusi pangilan video, di sini, hari ini.
Tambah beliau, pengumuman yang dilakukan Perdana Menteri semalam sekurang-kurangnya diharap dapat dikekalkan dan tidak berubah mengikut kes harian Covid-19.
Jelasnya, kebanyakan pekerja Malaysia di Singapura kini seolah-olah tidak mahu terlalu berharap, namun jika benar berlaku ia dianggap ‘keajaiban’.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kerajaan akan menggunakan peranti pintar bagi mengenalpasti individu yang melanggar peraturan.
Beliau berkata, peranti pintar itu akan ditempatkan di pintu masuk utama negara ini.
“Kita ada data mereka yang balik dan seperti biasa dipakaikan gelang kerana ada orang Malaysia yang bukan orang Johor dan tinggal di Melaka, Pahang umpamanya.
“Namun untuk rakyat Johor, dia mahu balik rumah kuarantin boleh jadi, bagaimanapun tumpuan kita dan saya akan cuba selesaikan isu rakyat Malaysia yang bukan orang Johor.
“Jadi mereka boleh balik dan dapatkan gelang dan stay at home, yang penting semua mereka ini perlu jalani PCR tiga hari sebelum pulang” katanya. – MalaysiaGazette