KUALA LUMPUR – Sebanyak 30 lagi lokaliti melibatkan negeri Sabah, Kelantan dan Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 11 Ogos hingga 24 Ogos ini.
Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, lokaliti di Sabah melibatkan PPR Taman Sri Balung dan PPR Taman Sri Titingan, Tawau; Kem 2 Tolokoson, Tenom; Kampung Kota Tuaran, Tuaran dan Kampung Sarikan, Nabawan.
Katanya, Taman Sri Bayu, Tumpat, Kelantan dan Taman Meru 2B, Kinta, Perak juga turut dikenakan PKPD.
“Sebanyak 23 lokaliti Perkampungan Orang Asli dalam daerah Batang Padang, Perak melibatkan Kampung OA Sg Lah, Mukim Chendering; Kampung Senta, Kampung Chang dan Kampung Sanding, Mukim Bidor serta Kampung OA Menderang, Mukim Sungkai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Hishamuddin berkata, 18 lagi lokaliti pula adalah di Mukim Batang Padang melibatkan Kampung OA Batu 6, Kampung OA Batu 14, Kampung OA Batu 16, Kampung OA Batu 17, Kampung OA Batu 18 dan Kampung OA Batu 19.
Ujarnya, lokaliti yang turut dikenakan PKPD adalah di Kampung Kenderong, Kampung Sungai Rensa, Kampung Sungai Chendon, Kampung Sungai Odak, Kampung Ampangan, Kampung Pos Woh dan Kampung OA Batu 7 serta Batu 7 ½ juga dikenakan PKPD.
Turut terlibat, Kampung Sungai Bot Dalam, Kampung Sungai Bot Luar, Kampung Sungai Tidong, Kampung Lubuk Gaharu dan Kampung Woh Intake.
Katanya lagi, langkah tersebut diambil selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19. – MalaysiaGazette