JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan penghargaan kepada kerajaan yang memberi tambahan bekalan dua juta dos vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Baginda bertitah, tambahan bekalan dos vaksin itu akan mempercepatkan lagi sasaran mencapai imuniti kelompok di negeri Johor.
“Keadaan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan rakyat amat membimbangkan.
“Dengan penambahan dos vaksin ini, kita berupaya melindungi orang ramai serta mempercepatkan sasaran imuniti kelompok.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas tambahan dua juta dos vaksin kepada Johor,” titah baginda menerusi laman Facebooknya.
Dalam satu kenyataan semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, tambahan bekalan sejumlah dua juta dos vaksin COVID-19 itu meliputi semua jenis vaksin yang telah pun mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmaseutikal Negara (NPRA).
Vaksin ini diagihkan ke seluruh Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terdapat di negeri Johor.
Datuk Seri Dr Adham berkata, sehingga semalam sejumlah 1,362,398 orang menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di negeri Johor, manakala sejumlah 540,895 individu menerima suntikan dua dos vaksin.
Secara keseluruhan, sudah 50.2 peratus populasi dewasa di Johor sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19. – MalaysiaGazette