Home Nasional Kes jangkitan mencanak, pertimbangkan semula kelonggaran pergerakan

Kes jangkitan mencanak, pertimbangkan semula kelonggaran pergerakan

Petugas Kesihatan mengendalikan jenazah pesakit Covid-19 yang akan dikebumikan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 05 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta untuk mempertimbangkan semula kelonggaran pergerakan kepada individu yang sudah lengkap dua dos mengambil kira situasi semasa yang belum sesuai.

Malaysian Health Coalition berkata, terdapat empat faktor yang menyebabkan kelonggaran yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini sebagai tidak tepat.

Faktor pertama, jumlah vaksinasi populasi negara ini masih belum mencukupi kerana hanya 27% penduduk yang telah diberi vaksin sepenuhnya dan angka ini tidak termasuk pendatang asing tanpa izin.

Chile hanya melonggarkan sekatan setelah 50% divaksinasi manakala Singapura pula mensasarkan untuk melonggarkan pergerakan selepas mencapai 70%.

Malaysian Health Coalition menambah, negara ini masih lagi berdepan dengan beribu-ribu kes jangkitan sehari dan penggunaan unit rawatan rapi, wad am juga melepasi kapasiti.

Keadaan sama juga berlaku di jabatan-jabatan kecemasan dan pusat-pusat kuarantin.

Situasi ini mesti digunakan sebagai panduan dalam Pelan Pemulihan Negara, katanya.

Pada masa sama, terdapat kebimbangan varian Delta yang mungkin dominan di Malaysia meskipun ujian genomik masih rendah memandangkan ia mudah tular, dikhuatri menular kepada individu yang belum menerima vaksin.

Selain itu terdapat ketidaksamaan penerimaan vaksin di seluruh negara yang menyaksikan hanya 12 peratus penerima vaksin di Sabah dan 59 peratus di Labuan.

”Oleh itu, kami percaya kelonggaran sekatan yang terlalu awal boleh membahayakan dan mencadangkan supaya menangguhkan kelonggaran yang ditentukan oleh satu kriteria yang jelas.

”Kriteria saintifik dan kesihatan awam bagi kelonggaran ini mesti dicadangkan oleh pakar kesihatan tanpa gangguan.

”Kriteria ini boleh merangkumi “kadar vaksin sepenuhnya 2.70% daripada jumlah populasi; jumlah penghuni ICU; jumlah kes baharu harian 54,000 dengan bahagian ujian positif S..5%” dan kriteria lain,” katanya.

Kerajaan juga harus menjelaskan secara spesifik peraturan yang dilonggarkan bagi mengelakkan kelompongan yang boleh menjejaskan Pelan Pemulihan Nasional.

Sebagai contoh, kerajaan perlu menjawab persoalan seperti: Apakah rasional membenarkan pengembara yang sudah mendapat vaksin dibenarkan kuarantin di rumah, berapa lama perlu kuarantin dan bagaimana dia akan dipantau.

”Sekarang adakah kita boleh mengesan kemungkinan berlaku kelompongan “percutian antara negeri dengan alasan mengunjungi anak-anak kita?,” soalnya.

Malaysian Health Coalition juga menuntut kerajaan menunjukkan bukti dan unjuran serta menjelaskan alasan dalam keputusan yang dibuat.

Jika tidak, rakyat akan terus berteka-teki sekiranya kerajaan benar-benar membuat dasar berdasarkan bukti.

Penanda Pelan Pemulihan Nasional juga mesti berdasarkan kepada sains dan mesti dapat diramalkan.

Walaupun pandemi itu bersifat dinamik, mengubah penanda Pelan Pemulihan Negara terlalu kerap dan tanpa penjelasan yang baik boleh menimbulkan kebimbangan bahawa keputusan bersifat politik dan bukan berdasarkan bukti, kata gabungan itu. – MalaysiaGazette