JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan bekas Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri Johor Bahru (MBIP) disyaki terbabit dengan kesalahan menerima rasuah.
Hasil siasatan mendapati suspek menerima wang rasuah daripada kontraktor bagi setiap kelulusan projek-projek yang dilaksanakan di bawah kendalian MBIP ketika memegang jawatan Datuk Bandar.
Suspek merupakan lelaki berusia 60 tahun yang kini bertugas di Majlis Bandaraya Johor Bahru telah ditahan kira-kira jam 3 petang tadi di Pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) ASPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda 5 kali nilai suapan atau RM10,000.00 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
Pengarah SPRM, Johor Datuk Azmi Alias mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan permohonan reman ke atas suspek akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Johor Bahru. – MalaysiaGazette