Home Nasional Penangguhan pelantikan Naib Canselor UiTM timbul persepsi negatif

Penangguhan pelantikan Naib Canselor UiTM timbul persepsi negatif

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Universiti Teknologi MARA (UiTM)

KUALA LUMPUR – Tiga kesatuan dan persatuan dalaman Universiti Teknologi Mara (UiTM) memandang serius penangguhan pelantikan Naib Canselornya, Prof Dr Roziah Mohd Janor baru-baru ini.

Tiga presiden kesatuan univerisiti itu antaranya Kesatuan Kakitangan Akademik UiTM (MITASA), Persatuan Kakitangan Akademik UiTM (UTiMAS) dan Kesatuan Kakitangan Umum UiTM (KKUUiTM) berkata pihaknya berharap Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) dapat menyelesaikan isu pelantikan Naib Canselor UiTM yang baharu dengan kadar segera.

“Kami berpandangan penangguhan pelantikan Naib Canselor seperti yang telah dinyatakan oleh Ketua Pengarah JPT bertarikh 7 Ogos dan telah disiarkan oleh akhbar tempatan telah sedikit sebanyak menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan anggota masyarakat.

“Kami juga telah menghantar sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mana kami turut menyatakan pandangan kami serta cadangan bagaimana isu ini dapat diselesaikan dan tidak berpanjangan,” kata mereka.

Tiga Presiden itu adalah Prof Madya Datin Dr Sarimah Ismail (Pemangku Presiden UTiMAS), Ahmad Faisal Mohamed Fiah (Presiden MITASA) dan Zulkifli Mohamed (Presiden KKUUiTM).

Dalam pada itu, ketiga-tiga mereka menyerahkan kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk meneliti isu ini dan menyampaikan nasihat yang bersesuaian.

“Kami percaya pemilihan Pof. Dr Roziah Mohd Janor telah melalui proses saringan dan temuduga serta telah mematuhi kriteria yang telah ditetapkan Jawatankuasa Pemilihan.

“Kami juga ingin tegaskan di sini bahawa pihak kami tidak pernah mengeluarkan sebarang surat atau kenyataan membantah pelantikan tersebut memandangkan kami sendiri tidak dimaklumkan secara langsung siapa yang terpilih untuk menjawat jawatan tersebut,” jelas ketiga-tiga mereka lagi.

Ahad lalu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Husaini Omar mengesahkan mengenai surat penangguhan pelantikan Prof Dr Roziah Mohd Janor sebagai Naib Canselor UiTM yang baharu.

Surat pelantikan yang viral itu adalah mengenai pelantikan Roziah sebagai Naib Canselor yang ditandatangani oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad melalui sepucuk surat bertarikh 2 Ogos lalu manakala satu lagi surat ditandatangani Husaini menyatakan mengenai penangguhan lantikan.

Roziah kini adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM memangku jawatan nombor satu institusi itu sejak Naib Canselor sebelum ini, Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim tamat tempoh perkhidmatannya pada 10 Mac lalu. – MalaysiaGazette