Home Dunia 42 maut termasuk 25 tentera dalam kebakaran hutan di Algeria

42 maut termasuk 25 tentera dalam kebakaran hutan di Algeria

Sekurang-kurangnya 42 orang dilaporkan terbunuh termasuk 25 angota tentera yang ditugaskan untuk mengawal api dalam berbelas kebakaran hutan di bahagian timur negara itu.- Gambar Reuters.

ALGERIA – Sekurang-kurangnya 42 orang dilaporkan terbunuh termasuk 25 angota tentera yang ditugaskan untuk mengawal api dalam berbelas kebakaran hutan di bahagian timur negara itu.

Presidennya, Abdelmadjid Tebboune dalam ciapannya mengucapkan takziah kepada anggota keluarga pasukan keselamatan yang terbunuh ketika cuba menyelamat orang awam yang terkepung di Bejaiea dan Tizi Ouzou, tempat di mana kebakaran dikatakan bermula.

Mengulas mengenai punca kejadian, pihak berkuasa mendakwa ia dilakukan dengan sengaja.

Menteri Dalam Negeri, Kamel Beldjoud berkata, siasatan sedang dilakukan bagi mengenalpasti mereka yang menjadi dalang yang menyebabkan lebih 50 kebakaran di pelbagai kawasan.

Ia dilaporkan berlaku pada malam Isnin lalu dan merebak di 16 wilayah di bahagian timur negara itu.

Keadaan cuaca panas yang kering ditambah dengan angin menyebabkan ia merebak dengan cepat.

Bagi mengawal api, penduduk menggunakan ranting kayu dan menyiram air tetapi ia tidak berkesan.

Berikutan keadaan yang semakin tidak terkawal, Perdana Menteri, Ayman Benabderrahmane berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan awal dengan rakan negara asing untuk menyewa kapal terbang bagi mempercepat usaha memadam kebakaran.- MalaysiaGazette