JOHOR BAHRU – Seorang pegawai kanan di sebuah pihak berkuasa tempatan di sini direman tiga hari hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah.
Perintah reman ke atas lelaki berusia 60 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.
Permohonan reman dikemukakan bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semalam, pegawai kanan berkenaan yang merupakan bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan kini bertugas di Majlis Bandaraya Johor Bahru ditahan pada 3 petang di Pejabat SPRM Johor.
Beliau disyaki menerima rasuah daripada kontraktor ketika berkhidmat di MBIP.
— BERNAMA