KUALA LUMPUR – Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Murad Khalid bakal memberi keterangan berhubung skandal kerugian urusniaga mata wang asing oleh bank pusat itu, esok.
Abdul Murad merupakan individu penting yang mana pembongkaran beliau terhadap skandal yang berlaku lebih 20 tahun itu akhirnya menyebabkan sebuah suruhanjaya khas dan bebas ditubuhkan untuk menyiasat isu tersebut.
Prosiding Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kes Kerugian Akibat Urusniaga Mata Wang Asing oleh Bank Negara Malaysia Sekitar Tahun 1990-an itu akan dijalankan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.
Prosiding tersebut dibuka kepada orang ramai.
Suruhanjaya Diraja itu akan mendengar dari mulut Abdul Murad sendiri berkenaan apa yang sebenarnya berlaku ketika itu sehingga menyebabkan Bank Negara Malaysia mengalami kerugian terbesar dalam sejarah. – MalaysiaGazette