Singapura- Pelajar-pelajar di Singapura mungkin mengungguli kedudukan dalam bidang matematik, sains dan bacaan namun kehebatan tersebut sebenarnya perlu dibayar dengan tekanan emosi yang kuat.
Satu kajian antarabangsa mendapati pelajar di Singapura yang terkenal di seluruh dunia dengan kehebatan akademik, turut mengalami paras kebimbangan (anxiety) yang tinggi dan terdedah dengan gejala buli.
Penemuan tersebut adalah hasil kajian Pertubuhan Kerjasaman Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang menjalankan ujian yang dipanggil Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (Pisa).
Kajian tersebut melibatkan 540,000 pelajar daripada 72 buah negara dan ekonomi untuk melihat hubung kait di antara kesejahteraan dan pencapaian dalam ujian Pisa.
Salah satu soalan yang dijawab oleh 5,825 pelajar di Singapura dalam ujian tersebut adalah apakah mereka berpuas hati dengan apa yang mereka ada di dalam hidup, namun kebanyakan mereka memberitahu mengenai kebimbangan mengenai ujian dan gred.
Para pelajar diminta memberi maklum balas mengenai kenyataan seperti: “ Saya selalu bimbang tidak dapat menjawab ujian, “ Saya bimbang akan mendapat gred yang rendah di sekolah, “Saya risau meskipun telah membuat persedian rapi bagi sesuatu ujian,” “Saya tertekan apabila belajar untuk menghadapi ujian,” dan “Saya cemas apabila tidak dapat menyelesaikan tugasan sekolah.”
Ini menunjukkan para pelajar mempunyai paras kebimbangan yang lebih tinggi berbanding purata OECD.
Contohnya, 66 peratus daripada pelajar seluruh negara OECD menyatakan kebimbangan mengenai gred rendah di sekolah namun dalam kalangan pelajar Singapura, ia mencecah 86 peratus.
Apabila ditanya kepada Kementerian Pendidikan, ia memberitahu, kebimbangan yang tinggi dalam kalangan pelajar itu adalah sesuatu yang dijangkakan kerana kaji selidik tersebut dilakukan ke atas pelajar berusia 15 tahun yang sedang membuat persiapan bagi peperiksaan N dan O- level.
“Kami mendapati para pelajar kami bimbang mengenai peperiksaan tetapi dalam masa yang sama pembelajaran dalam bidang sains tidak terjejas dan menggembirakan,” katanya.-MalaysiaGazette