KUALA LUMPUR – Krisis politik dalam suasana negara berhadapan dengan penularan Covid-19 turut mengheret Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyatakan pandangan.
PUM mengajak seluruh rakyat terutamanya para pemimpin parti-parti politik untuk menghormati titah yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu demi kestabilan pentadbiran negara.
Menurut Yang di-Pertua PUM, Datuk Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir, rakyat sudah bosan dengan gelagat para pemimpin politik yang saban hari memikirkan tindakan untuk mendapatkan kuasa dengan pelbagai cara termasuk menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Perlu diingatkan agar setiap tindakan yang dilakukan mestilah selaras dengan undang-undang yang ada. Seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa Perdana Menteri telah secara terbuka menyatakan akan melakukan undi percaya di Parlimen pada bulan September nanti.
“Jadi kenapa perlu untuk mendesak sedangkan komitmen telah dinyatakan dengan jelas?
“Hormatilah ruang yang diberikan di mana Perdana Menteri yang begitu terbuka menyatakan untuk mendapatkan keabsahan sokongan terhadapnya ditentukan di Parlimen,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, seharusnya pemimpin parti-parti politik lebih memikirkan tentang kemaslahatan rakyat terutamanya apabila berlakuka kes-kes kematian yang disebabkan oleh Covid-19 yang tidak mengenal usia.
Kata Syeikh Abdul Halim lagi, adalah lebih afdal ketika ini untuk para pemimpin parti-parti politik menggalakkan seluruh rakyat untuk mengambil vaksin sebagai salah satu daripada langkah keluar daripada wabak yang sedang dihadapi di dunia ketika ini.
“Beberapa pakej untuk memulihkan keadaan ekonomi juga telah diperkenalkan dan memerlukan komitmen semua untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara. Ini penting untuk menjamin kesejahteraan negara dan juga rakyat secara keseluruhannya.
“Jadi hentikan pergeseran merebut kuasa, PUM mengesyorkan agar parti politik dalam kerajaan Perikatan Nasional dan parti-parti pembangkang untuk kembali ke meja rundingan bagi sama-sama membantu membangun negara dan bukannya terus bersengketa merebut kuasa kerana perbalahan itu boleh meruntuhkan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette