Home Utama Siasatan dalaman FGV selesai akhir bulan ini

Siasatan dalaman FGV selesai akhir bulan ini

Ahli-ahli lembaga pengarah FGV termasuk Pemangku Pengerusinya, Tan Sri Sulaiman Mahbon akan meneruskan tugas seperti biasa sehingga mereka menerima makluman bertulis daripada MoF Inc.

SEPANG – Siasatan dalaman yang dijalankan oleh Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) berhubung hutang tertunggak Safitex Trading LLC dijangka dimuktamadkan akhir bulan ini.

Pengerusi FGV, Tan Sri Sulaiman Mahbob berkata, setakat ini tiga individu sudah memberi keterangan kepada ahli panel, hanya seorang pegawai tertinggi masih belum dipanggil.

Siasatan terhadap pegawai tertinggi itu, katanya, akan diteruskan pada 24 dan 25 Ogos ini.

“Selepas itu (siasatan), lembaga pengarah akan menentukan tindakan selanjutnya kerana ia adalah urusan dalaman FGV,” katanya selepas menghadiri majlis pelepasan jemaah haji Felda Travel di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Sulaiman berkata, keputusan mengenai siasatan itu akan dibuat selepas berbincang dengan Lembaga Pengarah FGV.

“Sekiranya tidak bersalah, maka tiadalah,” katanya tanpa mahu mengulas lanjut.

Pada Jun lalu, Jawatankuasa Eksekutif Lembaga Pengarah FGV mengarahkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Mohd. Talha diarahkan bercuti serta merta.

Turut menerima arahan yang sama ialah Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn. Bhd., Kamarzaman Abd. Karim.

Arahan tersebut dikeluarkan bagi membolehkan FGV menyiasat isu tunggakan bayaran hampir RM50 juta oleh syarikat Safitex bagi produk salah sebuah anak syarikat FGV, Delima Oil Products (DOP). – MalaysiaGazette