Home Nasional Ganti kuarantin pengembara di hotel bukan rumah – MATA

Ganti kuarantin pengembara di hotel bukan rumah – MATA

Lampu yang dinyalakan penghuni bilik semasa menjalani kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 JUN 2021.- Gambar fail.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) berhubung kebenaran kepada pengembara tempatan dan warga asing lengkap dua dos vaksin yang pulang atau tiba dari luar negara untuk menjalani kuarantin wajib di rumah.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun berkata, arahan berkenaan tidak wajar dilakukan ketika ini kerana dibimbangi golongan tersebut dikhuatiri gagal mematuhi SOP ditetapkan.

Katanya, jika kuarantin di rumah dilakukan, mereka boleh keluar membeli makanan malah, berjumpa kawan atau saudara-mara datang menziarah tanpa pengawasan dari pihak berkuasa.

“Sekiranya kuarantin wajib kepada pengembara ini dilakukan di hotel ianya dapat diawasi oleh pihak berkuasa.

“Selain itu, ianya dapat membantu ahli-ahli kami dari sektor perhotelan menjalankan perniagaan mereka dalam situasi yang amat mencabar ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Khalid memaklumkan jika golongan tersebut dikesan mempunyai varian lebih ganas, penularan akan menjadi lebih besar.

Ujarnya, kerajaan perlu sedar negara masih bergelut dalam menangani varian Delta, selain kewujudan varian Lambda yang jauh lebih ganas dan berupaya melumpuhkan keseluruhan sistem kesihatan.

“MATA menggesa Kerajaan Malaysia mengenakan kembali kuarantin wajib di hotel seperti yang telah dilaksana sebelum ini.

“Dengan kemunculan varian yang lebih ganas seperti Lambda dan Delta Plus ini, ianya boleh menyebabkan kesukaran pihak berkuasa mengawal pandemik itu dalam negara,” ujarnya.

Beliau menegaskan, tindakan pihak kerajaan membuka sempadan kepada mereka didalam situasi kes harian yang masih mencecah lima angka ketika ini juga dibimbangi menjadi punca penularan Covid-19 secara besar-besaran.

“Ini akan menyebabkan pengambilan masa yang lebih panjang lagi bagi pembukaan semula sektor pelancongan domestik yang telah terjejas teruk akibat pandemik ini,” katanya. – MalaysiaGazette