Home Nasional Remaja perempuan dakwa dicabul pengamal perubatan ketika rawatan

Remaja perempuan dakwa dicabul pengamal perubatan ketika rawatan

Shafien mamat
Shafien Mamat

TUMPAT – Seorang remaja perempuan mendakwa dicabul pengamal perubatan ketika menerima rawatan di rumah keluarganya di Pasir Tumboh, dekat sini, dalam satu kejadian 2 Ogos lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu selepas keluarga mangsa berusia 15 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian, tengah hari semalam.

Beliau berkata mangsa selalu mengalami masalah histeria dan dipercayai kerana gangguan makhluk halus sehubungan itu keluarga mangsa telah menghubungi suspek berusia 39 tahun itu untuk menjalankan perubatan ke atas mangsa.

“Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 11 pagi, ketika rawatan ke atas mangsa dijalankan oleh seorang lelaki yang dikenali dengan panggilan ‘ustaz’ (suspek),” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Shafien berkata kes akan disiasat mengikut Seksyen 14 (1) (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Pada 9 Ogos lalu, Polis Kelantan mengesahkan menerima satu laporan melibatkan seorang bomoh berasal dari Perlis (suspek) yang mendakwa dipukul sekumpulan lelaki berkaitan isu ‘Sihir 7 Keturunan’ dan santau yang kini tular di media sosial.

Akibat kejadian itu, lelaki berkenaan hanya mengalami cedera ringan iaitu lebam di mata kiri dan calar di muka namun kini mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu kerana menghidap penyakit lain.

— BERNAMA