KUALA LUMPUR – Semua pemimpin serta parti-parti politik digesa mengetepikan kepentingan politik, sebaliknya menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong supaya berusaha menyelesaikan kemelut ekonomi dan kesihatan secepat mungkin.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abdul Halim Husin berkata, pihaknya mengambil inisiatif menghimpunkan hampir 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam untuk duduk semeja bagi mencari penyelesaian berhubung perkara tersebut.
Menurutnya, semua NGO bersepakat dalam isu membabitkan kesihatan, kesejahteraan dan perpaduan nasional walaupun tidak sependapat dalam banyak perkara lain.
“Kami berharap ahli politik dapat mengambil iktibar daripada usaha suara ketiga ini dan mengetepikan sementara kepentingan politik dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar berusaha mencari jalan keluar kepada kemelut ekonomi dan kesihatan secepat mungkin,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, pihaknya menyambut positif pelantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri bagi portfolio Hal Ehwal Jalinan Komuniti, Komunikasi Masyarakat & Pembangunan Sosio-Ekonomi.
“Pelantikan ini sudah tentu satu tanggungjawab cukup besar tatkala rakyat masih bergelut dengan krisis ekonomi dan kesihatan dan negara masih ‘ribut’ dengan cerita politik yang tidak kunjung reda.
“Kami berharap pelantikan Ahmad Faizal mampu memberi kelegaan kepada situasi tidak menentu ini, dan menjadi jambatan kepada hubungan NGO dengan barisan kepimpinan kerajaan yang lebih proaktif,” katanya.
Abdul Halim berkata, sebagai pertubuhan yang membela nasib golongan usahawan dan orang Melayu, DPMM sentiasa menuntut kerjasama sihat di antara kedua-dua belah pihak bagi memastikan program dan dasar dilaksanakan kerajaan dapat terus dinikmati rakyat.
“Pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara semenjak hampir dua tahun lalu telah memberi kesan amat teruk kepada semua. Banyak laporan telah diterima mengenai bantuan yang lambat atau tidak sampai.
“Begitu juga nasib jutaan penjaja Melayu yang terumbang-ambing dan terputus makanan, atau pemain industri dalam sektor utama seperti percetakan, perkhidmatan profesional, hartanah dan banyak lagi yang bergantung kepada intervensi daripada kerajaan,” ujarnya.
Abdul Halim juga menegaskan, DPMM sentiasa cakna akan rintihan serta masalah yang dihadapi di luar sana, namun berhadapan tugas sukar untuk membantu sekiranya tidak mendapat tindak balas baik daripada kerajaan. – MalaysiaGazette