Home Sukan Leicester City dedah projek pembangunan semula Stadium King Power

Leicester City dedah projek pembangunan semula Stadium King Power

Lakaran artis menunjukkan model stadium baharu Leicester City yang dicadangkan kelab tersebut. - Foto: Twitter rasmi Leicester City.

LONDON – Leicester City hari ini secara rasminya mendedahkan kepada umum visi pembangunan semula Stadium King Power.

Pada Khamis, kelab Liga Perdana Inggeris itu mendedahkan foto pertama venue yang akan menambah kapasiti penonton kepada 40,000 orang dan juga sebuah hotel dan arena tertutup di stadium berkenaan.

Selepas mengeluarkan cadangan itu dalam laman web rasmi dan media sosial mereka, Leicester kini mengumpul maklumbalas dari penyokong serta masyarakat setempat sebagai konsultasi awam bagi meneruskan projek yang dirancang itu.

Jika dipersetujui, kira-kira 8,000 tempat duduk akan ditambah di East Stand yang akan diliputi bumbung berbentuk gelembung.

Lakaran artis fasiliti baharu pembangunan semula stadium King Power yang dijangka siap penghujung 2024.kredit Foto: Twitter rasmi LCFC

Dalam dokumen yang dikeluarkan oleh kelab itu, the Foxes menjangka kerja-kerja pembangunan boleh dimulakan serta-merta dan dijangka siap menjelang tahun 2024.

“Untuk memastikan kelab ini terus kekal bersaing dalam liga, ia memerlukan disiplin, model perniagaan berinovasi yang boleh menyampaikan pengalaman luar biasa kepada penyokong setia LCFC di serata dunia.

“Berikutan pusat latihan berkelas dunia kami bernilai £100 juta sudah siap sepenuhnya untuk operasi, kami kini beralih kepada membangunkan semula stadium utamanya,” kata kelab itu.

The Foxes yakin pelan baharu itu akan menggariskan reputasi Leicestershire sebagai rumah kepada sukan bertaraf dunia dan mencipta destinasi penting 365 hari untuk penyokong dari serata dunia.

Sementara itu, Datuk Bandar Leicester, Sir Peter Soulsby berkata pelan yang dikemukakan oleh Leicester adalah pelan berimpian tinggi yang mencerminkan komitmen kelab kepada bandar raya berkenaan.-Dailymail.com