Home Nasional Covid-19: Pesakit di ICU bertambah

Covid-19: Pesakit di ICU bertambah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Pesakit Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) menunjukkan peningkatan, dengan 1,096 direkodkan hari ini berbanding 1,075 kes semalam.

Daripada jumlah itu, 540 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam masa yang sama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga hari ini sebanyak 12,228 jumlah kematian, termasuk 260 yang direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

“Sebanyak 260 kes kematian pada hari ini yang melibatkan 77 kes di Selangor, 56 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,
50 kes di Johor, 18 kes di Perak, 16 kes di Negeri Sembilan, 14 kes di Kedah, 10 kes di Sabah, lapan (8) kes di Melaka, lima
(5) kes di Terengganu, masing-masing dua (2) kes di Pulau Pinang dan Kelantan, serta masing-masing satu (1) kes di
Sarawak dan Pahang,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, sebanyak 17,655 kes Covid-19 yang sembuh hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan adalah 1,128,183.

Terdahulu beliau berkata, 20,670 kes baharu positif Covid-19 hari ini, lapan daripadanya merupakan penularan import.

“Daripada 20,670 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 676 kes (3.3 peratus) adalah daripada kategori 3, 4
dan 5. Manakala sebanyak 19,994 kes (96.7 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2. Ini adalah berdasarkan
keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa Covid-19.

“Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes
sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

“Secara keseluruhan, hanya 2,646 kes (12.8 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini telah lengkap di
vaksinasi (iaitu dua minggu selepas mendapat dos kedua),” jelasnya.

Terdapat 34 kluster baharu menjadikan keseluruhan kluster adalah 4,154 dan yang aktif sehingga kini sebanyak 1,308.

Manakala itu, menurut Hisham lagi, sebanyak 2,846 kluster telah tamat.-MalaysiaGazette