KUALA LUMPUR – Pihak-pihak yang berhasrat untuk menyertai penganjuran himpunan #Lawan pada 21 Ogos ini dinasihatkan duduk di rumah sambil mendekatkan diri dengan Allah.
Ketua Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam Khiruddin berkata, adalah lebih baik jika mereka bersembahyang dan menjaga prosedur operasi standard (SOP) daripada terlibat dengan himpunan yang tidak berfaedah.
Katanya, kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit untuk menyelesaikan masalah Covid-19 dan sekiranya himpunan itu berlaku ia dibimbangi akan mengagalkan usaha itu.
“Jadi, tolonglah henti buat perkara mengarut ini, bantu frontliners. Kalau kamu tak mampu nak bantu di hospital atau di pusat pemberian vaksin sembahyanglah, duduk rumah jaga SOP itu lebih bagus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan air mineral kepada petugas barisan hadapan Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini hari ini.
Dalam pada itu Khairil Nizam juga menyifatkan mereka yang terlibat dengan penganjuran himpunan tersebutĀ sebagai tidak menghormati petugas barisan hadapan dan menzalimi mereka.
Katanya, jika berlaku jangkitan Covid-19 ia bukan sahaja memberi kesan kepada peserta yang menghadiri himpunan itu sebaliknya turut akan melibatkan kedua ibu bapa sekiranya mereka pulang ke rumah.
“Nasihat saya janganlah sebab telah ada bukti berlaku penularan covid bukan hanya kepada peserta demonstrasi tapi juga melibatkan mak dan ayah mereka,” ujarnya.
Mengulas lanjut Khairil Nizam berkata, adalah lebih baik sekiranya mereka menggunakan saluran demokrasi yang betul untuk menyampaikan tuntutan mereka itu.
Katanya, semua pihak perlu memberikan fokus dalam membantu kerajaan menyelesaikan permasalahan negara ketika ini serta menunjukkan simpati terhadap kepayahan yang dirasai petugas barisan hadapan.
“Cukuplah, kalau nak suruh berkumpul Pemuda Pas ini kita boleh kumpulkan 30,000 orang dalam satu masa.
“Saya bukan mendabik dada, baik saya turunkan mereka jadi sukarelawan dan sekarang ini, Jabatan Amal PAS menjadi sukarelawan di seluruh PPV (Pusat Pemberian Vaksin) di dalam negara dan juga menjadi sukarelawan hingga membawa mangsa jenazah Covid-19. Jadi, tolonglah henti buat perkara mengarut ini bantu frontliners,” katanya.
Terdahulu, Khairil menyerahkan sumbangan sebanyak 84,000 botol air mineral kepada Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Dr Rohana Johan.
Sumbangan tersebut yang turut mendapat kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Iman Care susulan laporan pihak hospital berkenaan yang sangat memerlukan air mineral bagi kegunaan petugas hospital dan pesakit Covid-19.
Sementara itu, Rohana ketika ditemui memaklumkan sangat berbesar hati dengan sumbangan yang dihulurkan oleh Pas dan Iman Care itu.
Katanya, pihak hospital sangat berterima kasih atas sumbangan untuk barisan hadapan itu.
“Kita menerima apa sahaja sumbangan bukan sahaja dalam bentuk minuman atau makanan tetapi dalam bentuk apa juga yang hendak diberikan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
MEREKA YANG BERHIMPUN TERMASUK MP2 PEMBANGKANG DAN MP2 YANG TARIK DIRI PATUT DISUMBAT KE ICU2 COVID SELURUH NEGARA UNTUK MELIHAT SENDIRI SERIUSNYA WABAK INIā¦.SERTA PENDEMO2 HARAM BOLEHLAH BANTU FRONTLINERS@SUKARELAWAN JENAZAH
langkah ini
AMAT SESUAI MEREKA YANG SOMBONG DAN KEPALA BATU DENGAN ALLAH serta manusia