Home Pendapat Awasi ajaran Masitah Ab Jalar dalam media sosial

Awasi ajaran Masitah Ab Jalar dalam media sosial

Persengketaan dan permusuhan sangat pantas dan mudah disebar dan dicapai oleh masyarakat ‘netizen’ melalui sosial media. Gambar hiasan

PADA 13 Ogos 2021, Kerajaan Persekutuan merancang untuk menjadikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebagai program mandatori kepada
semua rakyat Malaysia. Rancangan ini wajar disokong oleh semua pihak dalam negara ini.
Program imunisasi rakyat telah terbukti berkesan mengawal peningkatan jumlah jangkitan dan peningkat kes hospitalisasi. Bahkan sehingga tulisan ini dibuat, Labuan
mencatatkan angka penurunan kes jangkitan yang ketara. Pada 14 Ogos 2021, tiada kes
jangkitan baharu dikesan di Labuan!

Hal ini berikutan Labuan merupakan negeri pertama yang diiktiraf sebagai telah mencapai imuniti kelompok hasil daripada 80% populasinya berjaya diberikan vaksin. Di tengah-tengah usaha kerajaan ini, terdapat suatu kumpulan yang menjadi duri dalam daging. Mereka ini nampaknya cuba menghasut dan menyebarkan keresahan di kalangan sebilangan masyarakat bahawa program vaksinasi ini merupakan agenda Dajal!

Semuanya dipercayai setelah seorang wanita yang mengaku bermimpi mengenai siri-siri
peristiwa akhir zaman yang dikenali sebagai Masitah Ab Jalar. Wanita ini dikesan melakukan pelbagai ajaran yang menjurus kepada gambaran bahawa ketidakstabilan politik dan serangan pandemik merupakan petunjuk bahawa misi New World Order ingin mengambil alih pemerintahan Malaysia!

Bahkan hasil daripada penelitian yang dilakukan, sejumlah besar kumpulan Telegram
yang membincangkan mengenai teori konspirasi, gerakan anti vaksin berpunca dan berkait rapat daripada wanita ini! Kelihatannya kumpulan ini juga giat menanam rasa benci kepada sistem kenegaraan kita hari ini. Dakwaan kononnya pegawai tinggi kerajaan dan beberapa pemimpin merupakan ejen Dajal kerap dilihat bermain dalam ruang bicara media sosial mereka.

Tidak keterlaluan untuk diperkatakan di sini, bahawa kumpulan ini turut menanam
rasa takut kepada masyarakat untuk mengambil vaksin. Dakwaan liar seperti vaksin
merupakan alat kawalan minda, magnet nano, cip nano 5G yang dicipta oleh merealisasikan agenda New World Order. Bahkan berdasarkan perbualan ruang media sosial, pengikut kumpulan ini mengatakan bahawa Masitah Ab Jalar memberikan hukuman berdosa kepada sesiapa yang mengambil vasin!

Pengikut kumpulan ini juga percaya vaksin tersebut akan mengubah manusia menjadi gila, zombie dan alat kepada agenda New World Order. Semua kepercayaan dan keyakinan ini berdasarkan mimpi-mimpi wanita semata-mata! Mengambil ulasan yang dikeluarkan oleh Sahibul Samahah Mufti Negeri Perlis, Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin bahawa kumpulan juga telah mempersiapkan diri mereka untuk berhijrah keluar daripada Malaysia beramai-ramai di atas slogan berbaiah dengan Imam Mahdi di Mekah.

Mereka ini juga merancang untuk keluar dari kediaman masing-masing untuk ke sana atas pimpinan 10 khalifah mereka yang terdiri daripada beberapa Duli Yang
Maha Mulia Sultan Melayu, Kerabat Diraja dan salah seorang daripada khalifah ini adalah
adik-beradik Masitah Ab Jalar sendiri! Tuntasnya, saya menyeru kepada pihak kerajaan dan pihak keselamatan mengambil perhatian sewajarnya ke atas kumpulan ini.

Dipercayai terdapat sebilangan masyarakat yang terpengaruh dengan ajaran ini sanggup menjual harta benda dan tidak kurang juga yang sanggup berhenti kerja bahkan dipercayai ada yang bertindak mengeluarkan semua wang daripada bank. Semua ini kerana keyakinan yang membuta tuli kepada ajaran kumpulan ini.  Tidak kurang juga turut dilaporkan terdapat ahli keluarga yang sanggup bersekongkol dengan pimpinan kumpulan ini sehingga sangup mengenepikan anak, suami, isteri dan seumpamanya.

Saya sekali lagi menggesa kepada pihak berkuasa agar segera mengambil tindakan
tegas ke atas kumpulan ini. Hal ini bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar dari terus
berlaku. Dunia tidak pernah melupakan tragedi People Temple pada tahun 1978 di mana
sejumlah 918 rakyat Amerika Syarikat terkorban akibat ajaran yang dibawa oleh Jim Jones kononnya mengaku bahawa dia adalah penyelamat dunia. Pengikut fanatiknya bertindak keluar dari Amerika Syarikat dan berpindah ke negara Guyana semata-mata kepercayaan melalu dengan ajaran Jim Jones tersebut yang akhirnya mati dalam satu upacara membunuh diri beramai-ramai!

Kelihatannya matlamat ajaran Masitah Ab Jalar ini juga mirip gerakan ini. Cuma
wanita ini bijak mengabui mata masyarakat kononnya dia tiada kaitan dengan kumpulan yang hendak menyelamatkan diri ke hutan sebelum meneruskan perjalanan ke Timur Tengah. Akhir sekali saya menyeru kepada masyarakat kita supaya lebih celik ilmu pengetahuan dan menerapkan pembudayaan saintifik dengan semua penerimaan ilmu supaya kita tidak mudah terjerumus ke lembah kesesatan dan perbuatan yang sia-sia.

Tinggalkan budaya taklid buta  yang gemar menurut sesuatu perkara tanpa mengkaji terlebih dahulu. Rujuklah pakar-pakar dan ilmuan dalam sesuatu bidang sebelum menuruti sesuatu ajaran.

Oleh: Dr. Mohd Zulfahmi Mohamad
Pensyarah di Universiti Sultan Azlan Shah