Home Utama 11 sektor dibenar beroperasi dalam Fasa 1 mulai esok

11 sektor dibenar beroperasi dalam Fasa 1 mulai esok

Kedai gunting rambut dibenar beroperasi semula dengan SOP tambahan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sebanyak 11 jenis aktiviti ekonomi yang akan dibenarkan kembali beroperasi di dalam Fasa 1 berkuatkuasa esok.

Semua 11 sektor itu termasuklah kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barangan dapur serta peralatan dapur, kedai perabot, peralatan sukan, aksesori kereta, pengedaran dan penjualan kereta.

Juga pasar pagi, pasar tani, kedai pakaian, fesyen serta aksesori, kedai barangan kemas, kedai gunting rambut, salun kecantikan juga perkhidmatan kedai gunting asas sahaja.

Dalam satu kenyataan media hari ini, kata Muhyiddin keputusan itu diambil selepas mengambil kira data penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kita juga telah berbincang dengan semua pemegang taruh (stakeholders) dalam sektor-sektor berkepentingan.

“Kerajaan faham bahawa banyak aktiviti ekonomi yang tergendala dan pelbagai kemahuan tidak dapat dilaksanakan akibat pandemik ini termasuklah membeli barangan rumah selain keperluan asas dan memotong rambut serta pelbagai lagi kemahuan kendiri.

“Semakin lama perkara ini dihadkan, semakin besar risikonya terhadap kesihatan mental dan fizikal rakyat.

“Kita sedar amat penting untuk sektor ekonomi kembali dibuka secara berperingkat kerana jika tidak dimulakan sekarang, kesannya terutama terhadap pengusaha perniagaan dan pekerja-pekerja mereka akan semakin parah.

“Tetapi kemudahan terbaharu yang saya umumkan ini akan terpakai ke atas semua fasa PPN dengan syarat, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di negeri berkenaan mestilah telah mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus,” katanya hari ini.

Bagaimanapun, kata Muhyiddin, untuk kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai barang kemas; serta kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan ada garis panduan (SOP) tambahan perlu dipatuhi.

“Ia termasuklah memakai sarung tangan, menghadkan masa urusan antara pekerja dan pelanggan serta tidak membenarkan penggunaan fitting room. SOP-SOP ini mungkin merumitkan tetapi ia demi keselamatan pekerja dan pelanggan.

“Pemilik premis yang tersenarai dalam perniagaan boleh beroperasi semula ini juga perlu memastikan pelanggan memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

“Sekali lagi diingatkan, maksud vaksinasi lengkap ialah 14 hari selepas tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin jenis dua dos, dan 28 hari selepas tarikh suntikan bagi vaksin jenis satu dos,” jelasnya. – MalaysiaGazette