KUALA LUMPUR – 11 lagi aktiviti ekonomi di dalam sektor perdagangan dan pengedaran untuk kembali beroperasi di dalam Fasa 2 berkuatkuasa pada mulai esok.
Ini merupakan tambahan kepada 11 lagi ekonomi yang dibenarkan beroperasi semula di dalam Fasa 1.
Sebanyak 11 aktiviti itu termasuklah kedai fotografi, barangan terpakai, kedai bunga dan nurseri, kraftangan serta cederahati, kedai antik, alat permainan, kedai kandungan kreatif, peralatan outdoor, kosmetik dan kedai tembakau termasuklah vape dan rokok elektronik.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin juga mendedahkan kerajaan juga telah bersetuju untuk membenarkan semua aktiviti tidak perlu dalam sektor-sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian kembali beroperasi bermula 16 Ogos 2021 di negeri Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 PPN.
“Namun kapasiti pengoperasian adalah bergantung kepada kadar vaksinasi lengkap pekerja.
“Kerajaan faham, keputusan ini akan menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai yang bimbang dengan risiko penularan. Sekali lagi dijelaskan bahawa setiap ketetapan dibuat dengan berhati-hati.
“Setelah lebih setahun negara berada dalam situasi pandemik, banyak majikan mula mengurangkan tenaga kerja, sekali gus menyebabkan ramai hilang pekerjaan. Dalam situasi sukar ini, kerajaan tidak boleh membiarkan keadaan ini berlarutan,” katanya hari ini.
Jelas Muhyiddin lagi, kerajaan amat berharap kemudahan yang diumumkan hari ini dapat merancakkan semula perusahaan masing-masing.
“Saya ingin mengingatkan semua majikan supaya mematuhi dan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan sebelum memulakan semula operasi bagi memastikan keselamatan pekerja dan tempat kerja terjamin.
“Pada masa yang sama, manfaatkanlah sepenuhnya inisiatif subsidi upah yang disediakan Kerajaan bagi memastikan setiap pekerja memperolehi bayaran gaji mereka,” tegasnya. -MalaysiaGazette