JOHOR BAHRU – Semua pemimpin UMNO termasuk ahli Parlimen parti itu yang berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu bersatu hati dalam menghadapi situasi politik ketika ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO mesti segera mengeratkan semula perpaduannya di semua peringkat sama ada ahli, pemimpin apatah lagi ahli-ahli Parlimen.
Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, UMNO mesti menjadi parti yang kuat, bersatu dan memberi fokus terhadap perkara yang betul.
“Seperti yang telah saya tegaskan berulang kali, perjuangan, kekuatan dan pendirian parti adalah lebih besar dan lebih utama daripada segala kedudukan dan jawatan mana-mana individu dan personaliti.
“UMNO mesti hadir dan berdiri sebagai sebuah ketumbukan orang Melayu yang mempunyai kebersamaan tekad dan kebulatan hati. Bukannya berpecah-pecah dan berlainan haluan.
“Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang yang sangat jelas bahawa perdana menteri dan PN sudah tidak berupaya untuk mempertahankan kerajaan yang ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Tambahnya, semua ahli Parlimen UMNO dalam PN tidak perlu bimbang kerana ruang dan tempat untuk mereka dalam parti tidak pernah hilang.
“Perjalanan kita semua dalam UMNO telah sama-sama mendewasakan. Persahabatan mesti kekal dan abadi. Kita jangan sampai berkerat rotan berpatah arang.
”Mereka yang berbeza pandangan dengan kita bukan musuh. Ingat gigi dengan lidah, ada masa tergigit jua,” katanya.
Katanya, apa yang mesti diingat, PN itu tidak lebih daripada sekadar ruang untuk UMNO menyumbang kepada bangsa dan negara.
Jelasnya, UMNO menyokong PN apabila wujud kebaikan yang jelas kepada bangsa dan negara dan mempertikaikannya semasa PN dilihat gagal serta sudah tidak berada pada landasan yang betul.
“Namun, UMNO tidak hidup hanya untuk hari ini. UMNO melihat masa depan. Atas dasar itu, insya-ALLAH UMNO akan segera meninggalkan episod ini untuk membuka lembaran baharu yang lebih penting,” katanya.
Buat masa sekarang katanya, keutamaan UMNO adalah untuk memberikan sentuhan kepada penyelesaian krisis nasional dan kemenangan UMNO dalam pilihan raya umum akan datang.
“Saya mengakui keputusan UMNO menarik sokongan dan keluar dari PN, bukan sahaja memberi kesan langsung kepada PN sebagai sebuah kerajaan dan keabsahan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai perdana menteri tetapi UMNO sendiri berhadapan dengan pelbagai cabaran kesan keputusan ini.
“Pastinya keputusan sebesar dan sepenting ini mempunyai risiko dan geloranya. Sudah lumrah politik, pasti ada badai dan gelombangnya. Yang mustahak adalah cara kita berhadapan dengan segala cabaran tersebut,” katanya.-MalaysiaGazette