KABUL – Taliban telah tiba di pinggiran Kabul selepas menguasai sebahagian besar negeri ini.
Menteri Dalam Negeri mengatakan rundingan telah dilakukan untuk memastikan peralihan kuasa dilakukan secara aman.
Satu kenyataan dari Taliban berkata, tentera mereka diperintahkan untuk tetap berada di pinggir ibu kota.
“Kami memberi jaminan kepada rakyat di Afghanistan – tidak akan ada balas dendam terhadap siapa pun,” kata jurucakap Taliban kepada BBC.
Rusia merancang untuk mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membincangkan keadaan di Afghanistan.
Moscow mengesahkan tidak akan menutup kedutaannya kerana telah diberikan jaminan keselamatan oleh Taliban.
Taliban kembali berkuasa selepas hampir 20 tahun sejak kumpulan ini digulingkan oleh gabungan tentera pimpinan Amerika Syarikat (AS).
Lapangan terbang dan penjara Bagram, kira-kira 40km (25 batu) utara pusat bandar, berada di tangan Taliban.
Dulu, ia merupakan kemudahan ketenteraan terbesar AS di Afghanistan, tentera AS telah mengundur diri dari kompleks itu pada 2 Julai.
Presiden Joe Biden mempertahankan keputusannya untuk mempercepat penarikan keluar tentera AS, dengan mengatakan beliau tidak dapat membenarkan “kehadiran Amerika yang tidak berkesudahan di tengah konflik sivil di negara lain”.
AS kini mengeluarkan kakitangan dari kedutaannya di Kabul dengan menaiki pesawat tentera di lapangan terbang, di mana 5,000 tentera AS dikerahkan untuk membantu operasi tersebut.
Taliban telah menguasai Jalalabad, sebuah kota utama di timur, tanpa pertempuran.
Ini bererti Taliban telah menguasai jalan yang menghubungkan negara itu dengan Pakistan. – BBC