Home Pendapat Apa lagi yang kamu mahu, duhai pemimpin!

Apa lagi yang kamu mahu, duhai pemimpin!

Gambar hiasan.
Gambar hiasan

KEMELUT politik negara pada masa ini amat membimbangkan dan membawa negara kita ke kancah kejatuhan.

Negara-negara jiran akan memandang sinis dan amat suka dengan keadaan Malaysia tidak stabil ini.

Ini kerana, suatu ketika negara kita merupakan negara pesaing utama dalam perdagangan dan ekonomi.

Sekarang ekonomi dan politik Malaysia semakin lesu dan lemah, maka inilah peluang negara-negara membangun di sekitar mengambil peluang dan ruang yang di tinggalkan Malaysia.

Pelabur-pelabur kian mengecil di Malaysia dan sudah ramai berpindah mencari loji baru perdagangan mereka.

Tidak boleh salahkan pelabur, mereka mencari keselamatan keuntungan dalam setiap inci pelaburan.

Macam kitalah, siapa mahu melabur jika tempat itu kurang selamat dan menjangkakan kerugian.

Sebelum negara kita membetulkan langkah pemulihan ekonomi, kestabilan politik perlu dipulihkan terlebih dahulu, kerana politik merupakan ibu dasar pembentukan ekonomi dan sosio yang lain.

Berdamailah dengan jiwa yang tenang buat semua pemimpin. Jika belum mampu berdamai antara satu sama lain, berdamailah dengan diri sendiri dahulu.

Letakkkanlah keutamaan rakyat dan nusa dalam sanubari masing-masing. Usahlah mengejar menang sorak kampung tergadai. Jangan sampai anak cucu kita meludah dekat pusara kita nanti.

Carilah titik kebersamaan dan hormatilah Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara.

Bak kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat. Berbincang dan diplomasilah kerana itulah ibu kelahiran negara kita dahulu.

Baka kita bukannya daripada darah perang membina negara, baka kita adalah berbaka penuh dengan hemah dalam mencapai matlamat.

Buanglah sifat ego dan dendam kesumat sesama kita, carilah rumah kedamaian yang menang-menang.

Tiada guna menang jadi abu, akhirnya negara dan rakyat musnah. Bersaudara dan bersatulah sempena bulan Maal Hijrah yang membawa seribu keberkatan kepada semua. – MalaysiaGazette

Mohd Ridzuan Ibrahim

Penulis, Mohd Ridzuan Ibrahim adalah guru yang juga mantan Naib Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas.