Ia berbanding 4.2 peratus pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia (KDNK) yang dicatatkan tahun lalu. Semakan semula itu adalah berdasarkan asas ekonomi utama serta kedudukan makro ekonomi yang lebih baik.
Bank pelaburan itu turut menaikkan gambaran besar ekonomi tahun ini dan tahun hadapan dengan meningkatkan unjuran pertumbuhan KDNK 2017-2018 kepada 5.5 peratus berbanding 5.1 peratus sebelumnya.
Ia berlandaskan pertumbuhan dalam permintaan domestik yang lebih kukuh memandangkan permintaan luaran bersih dijangka lebih besar berbanding sebagai pemacu pertumbuhan, walaupun lebih rendah daripada yang diunjurkan sebelum ini.
“Semakan menaik itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh unjuran pertumbuhan yang lebih pantas dalam sektor pembuatan (kepada +5.6 peratus daripada +5.0 peratus) dan perkhidmatan (kepada +5.9 peratus daripada +5.8 peratus) dari segi penawaran, dan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam perbelanjaan pengguna (kepada +6.7 peratus daripada +6.4 peratus), pelaburan swasta (kepada +9.4 peratus daripada +8.7 peratus) serta eksport (kepada +8.5 peratus daripada +7.8 peratus), ” katanya dalam nota kajiannya hari ini.
Bank pelaburan itu berkata, ia menjangkakan momentum pertumbuhan lebih lima peratus itu dapat dikekalkan pada 2018, walaupun pada kadar perlahan sedikit sebanyak 5.1 peratus (+4.9 peratus sebelumnya).
Jumaat lalu, Bank Negara Malaysia melaporkan ekonomi Malaysia berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2017 berbanding tahun sebelumnya, yang menjadi kadar terpantas dalam tempoh lebih dua tahun, berbanding unjuran kedudukan yang sedikit lembap.
Bank pusat berkata, pengukuhan berterusan dalam permintaan dalam negeri dan eksport adalah antara pemacu pertumbuhan utama pada suku berkenaan. – MalaysiaGazette