Home Sukan Musim terbaik buat Kuala Lumpur City – Paulo Josue

Musim terbaik buat Kuala Lumpur City – Paulo Josue

Pemain KL City FC, Paulo Josue diasak pemain Sri Pahang FC, Azam Abdul Azih pada perlawanan Liga Super 2021 diantara KL City FC menentang Sri Pahang FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Setelah melalui pelbagai detik jatuh bangun bersama Kuala Lumpur City FC sejak lima musim lalu, Paulo Josue mengakui tahun 2021 bakal menjadi saat terbaik buat pasukannya selepas berjaya menempatkan diri di tangga keenam Liga Super.

Biarpun pernah melalui pengalaman membawa KL City muncul juara Liga Premier pada musim 2017 serta dapat mengekalkan slot pada musim berikutnya tetapi inilah kali pertama dia dapat melihat kestabilan pada prestasi pasukan.

Malah kehadiran ramai pemain berkualiti telah membantu pasukan selain kekuatan di bahagian pertahanan menjadi tunjang di sebalik kejayaan meraih banyak mata penting terutama di laman sendiri yang memperlihatkan mereka masih kekal dengan rekod tanpa kalah selepas sembilan perlawanan.

“Musim ini boleh saya katakan pihak pengurusan lebih bijak dalam pencarian pemain malah mendapatkan seorang jurulatih(Bojan Hodak) yang begitu berpengalaman mengenai Liga Malaysia.

“Dia mengetahui banyak maklumat tentang pemain-pemain dari pasukan lain serta jangkaan strategi dan ini memberikan kelebihan tambahan kepada kami.

“Biarpun kami beraksi tanpa penyerang dalam kebanyakan perlawanan, saya tetap rasakan ini adalah musim terbaik yang pernah dilalui dengan pasukan.

“Sebelum ini pada musim 2018 saya rasa kami miliki skuad yang baik namun tidak begitu seimbang kerana walaupun berjaya menjaringkan banyak gol namun dalam masa kami dibolosi dengan angka yang tinggi.

“Kekuatan di bahagian pertahanan turut menjadi salah satu faktor kenapa kami mampu berada di tahap ini dan malah saya rasakan benteng pasukan KL City antara terbaik di dalam liga pada masa sekarang,” katanya.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Kuala Lumpur di Liga Super yang bermula pada 2004 sebelum dijenamakan kepada KL City FC ialah mendapat tempat kesembilan pada musim 2010.

Selain melakukan empat bantuan jaringan, Josue buat masa ini menjadi penjaring terbanyak buat KL City serta ketiga terbanyak Liga Super, berkongsi kedudukan dengan Kpah Sherman dengan sembilan gol.

Jumlah jaringan musim ini adalah tertinggi buat Josue selepas lima tahun di KL City dengan pencapaian terbaiknya sebelum ini adalah tujuh gol pada musim 2018. Secara keseluruhannya Josue telah menjaringkan 36 gol bersama KL City FC.

Dia boleh dikatakan antara pakar sepakan percuma di Liga Malaysia buat masa ini apabila sebahagian jaringannya berjaya dihasilkan melalui situasi sedemikian.

Dalam pada itu, Josue akui dia tidak terbeban dengan harapan menjaringkan gol terletak di bahunya setelah KL City tidak dapat menggunakan khidmat pemain import yang berasal dari Nigeria, Kyrian Nwabueze ekoran kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL), tamparan kali kedua setelah melepaskan Domique da Slyva.

“Saya dan Romel Morales lebih banyak beraksi di bahagian hadapan, biarpun kami berdua bukanlah seorang penyerang tetapi kami cuba sebaik mungkin untuk bantu pasukan.

“Rakan-rakan sepasukan juga membantu seperti J. Partiban, Hadin Azman dan Zhafri, malah Bojan memberikan kebebasan kepada kami apabila dalam situasi lakukan serangan.

“Mungkin secara kebetulan peluang lebih banyak untuk saya bagi mendapatkan jaringan dan saya gunakan saat itu bagi membantu pasukan.

“Saya juga selepas sesi latihan sering kali melakukan inisiatif sendiri dalam situasi sepakan percuma bagi mempertajamkan keupayaan saya dengan turut meminta bantuan penjaga gol, perkara ini sedikit sebanyak membantu diri saya dalam tiap perlawanan, ” katanya. – MalaysiaGazette