KUALA LUMPUR – Bekas bintang Manchester United, Radamel Falcao kini dikaitkan akan menyertai juara Liga Super tujuh kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) sejak beberapa hari lalu.
Spekulasi itu tersebar di portal sukan Turki, Fotomac menerusi hantaran di laman Twitter mereka yang mendakwa JDT memohon dengan kelab Turki, Galatasaray untuk mendapatkan penyerang Colombia itu.
“Kelab paling popular di Malaysia, Johor memohon Galatasaray untuk (mendapatkan) Radamel Falcao,” tulis portal itu di Twitter.
“Presiden kelab itu, Tunku Ismail (Sultan Ibrahim), didakwa secara peribadi menguruskan perpindahan itu dan mahu membuat perpindahan terbesar dalam liga bola sepak Malaysia,” tulis laporan itu.
Namun, sehingga kini belum ada pengesahan atau kenyataan rasmi daripada JDT mengenai spekulasi yang bermain di media sosial itu.
Falcao, 35, sebelum ini pernah menyarung jersi beberapa pasukan besar termasuk Manchester United, Chelsea, Porto dan Atletico Madrid.